ROTTERDAM – John McGinn terus membuktikan kepimpinannya selaku kapten apabila meledak gol ketiga berturut-turut membantu Aston Villa menewaskan Feyenoord 2-0 dalam aksi Liga Europa di Stadium De Kuip awal pagi tadi.
Villa membuka tirai jaringan menerusi Emi Buendia sebelum McGinn mengesahkan kemenangan dengan sentuhan kemas, sekali gus mencatat dua kemenangan berturut-turut di pentas Eropah.
Pengurus Villa, Unai Emery menyifatkan McGinn sebagai pemain yang muncul tepat ketika pasukan memerlukan.
“Cabaran dia sebagai kapten bukan sekadar taktikal tetapi emosi. Dia sentiasa tersenyum, memberi tenaga positif dan tahu bangkit pada saat sukar,” katanya.
Villa bagaimanapun diuji apabila kehilangan penjaga gol utama, Emiliano Martinez akibat kecederaan betis, namun penggantinya, Marco Bizot tampil cemerlang dengan lapan aksi penyelamatan untuk memastikan gawang kekal utuh.
“Penjaga gol kami sangat bagus. Dia terima peranan dengan baik dan buktikan dirinya mampu ganti Martinez,” ujar Emery. – AGENSI