SEPANG – Seorang penuntut universiti tempatan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 32 sebuah kondominium di Cyberjaya, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 pada pukul 3.18 petang mengenai seorang lelaki tidak sedarkan diri di tingkat lapan kondominium berkenaan.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Cyberjaya bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa berusia 17 tahun dalam keadaan tertiarap di lantai serta tubuhnya berlumuran darah dipercayai akibat terjatuh dari tingkat atas rumah yang didudukinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut dijalankan oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sepang bersama unit forensik mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian.
Norhizam berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Cyberjaya untuk bedah siasat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE