fbpx
Tangkap layar video tular aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla dikumpulkan di satu kawasan yang turut kelihatan Heliza dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah.

[VIDEO] Sumud Flotilla: Heliza Helmi, adik dikumpulkan satu tempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Satu video tular di media sosial memperlihatkan aktivis dan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dikumpulkan di satu kawasan yang mana ia turut kelihatan peserta Malaysia iaitu penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah.

Pada video itu, semua aktivis dan sukarelawan dari pelbagai negara sedang duduk di atas lantai dan kelihatan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir di hadapan mereka sambil bercakap dalam bahasa Ibrani.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman turut mengesahkan antara sukarelawan dirakam pada video itu adalah Heliza dan Nur Hazwani Afiqah serta diakui oleh pengguna media sosial yang lain.

“Saat 0.06 tu nampak macam Kakja, Ika (The Helmis) dan geng-geng kitalah dalam video tu. Semangat depa tinggi, masa ditangkap pun cukup gagah dan reda.

“Kakja dan Ika khususnya, dua peserta akhir yang Sumud Nusantara pilih untuk menyertai flotila sebab depa sanggup lari dari Madinah untuk turut serta,” katanya pada hantaran Instagram hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, video berkenaan merupakan propaganda Israel untuk memperlihatkan aktivis dan sukarelawan sebagai pengganas.

“Pertama sekali kita tak kongsi video ni sebab percaya propaganda mereka, tapi sebab kasihan pengganas Ben Gvir ni try hard (bersungguh-sungguh) betul nak bagi nampak peserta pula macam pengganas. Bila peserta mula laung ‘Free Free Palestine’ terus cut (potong) video.

“Kedua dia kata ada satu saja kotak bantuan, padahal pasukan Sumud Nusantara yang beli, pek dan agih bantuan untuk dibawa dalam majoriti kapal dan kita dah tunjuk video di media sosial kita,” katanya.

Suami Heliza, Mahadi Badrul Zaman menerusi hantaran Instagram Story turut berkongsi video tular tersebut yang memperlihatkan isteri serta adik iparnya.

Sementara itu, orang ramai mendoakan kesemua aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla sekali gus mengharapkan mereka dalam keadaan selamat.

“Heliza dan adik dia Hazwani duduk dekat tengah-tengah tu. Cuba tengok ada tentera bersenjata di belakang tu, The Helmis depan dia je,” komen pengguna Instagram Diyashidee.

“Ya nampak Kakja, Wani, Farah kat situ. Ya Allah, lindungi mereka,” komen Nurz8889.

“Ada nampak tudung hitam macam Kakja. Semoga mereka semua selamat dan dapat balik negara masing-masing dengan cepat,” kata Yanti_Nik.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Ben-Gvir menuduh aktivis dan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla sebagai pengganas selain membawa bahan kimia.

Menerusi video tular di media sosial, Ben-Gvir hadir di hadapan aktivis dan sukarelawan yang ditahan oleh tentera Zionis Israel, malah dia turut memasuki salah satu kapal serta menuduh kononnya terdapat bahan kimia di situ. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Nadir Al-Nuri (@nadiralnuri)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI