KAJANG – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental cedera dipukul sekumpulan individu kerana didakwa menganggu wanita dalam kejadian di kawasan awam Kompleks Hentian Kajang pada 10 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya terkesan sebuah video berdurasi 51 memaparkan kejadian sekitar pukul 4.30 petang, semalam.
“Maklumat awal dari saksi yang ditemui mengatakan punca kejadian adalah kerana mangsa sebelum itu telah mengganggu wanita di dalam surau dan kedai makan kawasan tersebut.
“Mangsa berusia 31 tahun telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang kerana cedera di muka serta mulut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Naazron, mangsa juga telah ditahan di Wad Psikiatri selama 20 hari kerana merupakan pesakit bipolar disorder.
Katanya, bertindak atas maklumat, empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 20 hingga 37 tahun telah ditahan sekitar pukul 7.35 malam, semalam di kawasan Hentian Kajang bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Fatihah Awang di talian 011-25703695 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE