PETALING JAYA – Membawa nama Malaysia, pelakon Anna Jobling mencipta sejarah sendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang trofi Outstanding Asian Star di Seoul International Drama Awards 2025 (SDA) yang berlangsung di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan semalam.
Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, memenangi kategori tersebut menerusi drama Hai Cinta, Dengarkanlah gandingannya dengan Shukri Yahay dan Niezam Zaidi.
Anggun dalam persalinan dres labuh berwarna ungu, dia mendedikasikan trofi terbabit kepada ramai pihak termasuk ibu bapa dan peminatbyang tidak pernah berhenti menyokongnya selama ini,
“Saya benar-benar terharu dan amat bersyukur atas pengiktirafan ini.
“Terima kasih Seoul International Drama Awards kerana membuka ruang untuk Malaysia bersinar di pentas antarabangsa.
“Kemenangan ini sangat bermakna kerana bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk seluruh peminat, keluarga, serta pasukan produksi yang tidak pernah berhenti menyokong saya,” katanya.
Dalam masa sama, dia turut berterima kasih kepada Tonton dan TV3 kerana menjadi platform yang berjaya memberi momen manis dalam kerjaya seninya.
Sebagai antara aktres yang berjaya meledak dan memenangi banyak trogi sebelum ini, Anna turut berazam menjadi inspirasi kepada pelakon generasi baharu agar berani bermimpi besar dan melangkah lebih jauh.
“Trofi ini adalah kebanggaan bersama, hadiah istimewa yang saya bawa pulang untuk Malaysia,” katanya lagi.
SDA merupakan acara berprestij mengiktiraf anak-anak seni dari pelbagai negara yang berjaya dalam kerjaya mereka.
Menerusi kategori tersebut, Anna turut tercalon bersama selebriti ternama lain termasuk, Kim Seon-ho, Jisoo, Daniel Padilla dan Kentaro Sakaguchi. – KOSMO ONLINE