NEW DELHI – Aktor ‘superstar’ Bollywood, Shah Rukh Khan menyertai kelab billionair buat pertama kali di India, sekali gus menjadi salah seorang pelakon terkaya dunia, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam yang memetik senarai baharu.
Kekayaan bersih pelakon berusia 59 tahun itu dianggarkan mencecah AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion), demikian menurut senarai Hurun India Rich List 2025.
Shah Rukh kini sebaris dengan selebriti dunia seperti Arnold Schwarzenegger; penyanyi pop, Rihanna; pemain golf, Tiger Woods dan penyanyi Taylor Swift.
Antara personaliti Bollywood lain dalam senarai tersebut ialah pelakon wanita Juhi Chawla, pelakon Hrithik Roshan dan Amitabh Bachchan serta pengarah filem Karan Johar.
Sering digelar raja romantik Bollywood, Shah Rukh berkecimpung lebih dari tiga dekad dalam industri filem Hindi dan mengubah dirinya daripada sekadar pelakon kepada pemilik syarikat produksi besar serta kelab kriket.
“Status billionair Shah Rukh didorong terutamanya oleh pegangan sahamnya dalam Red Chillies Entertainment (syarikat produksinya) dan Knight Rider Sports (kelab kriket IPL miliknya),” kata Anas Rahman Junaid, pengasas dan ketua penyelidik Hurun India kepada BBC.
Sumber pendapatan lain pelakon itu adalah termasuk bayaran filem, iklan dan pelaburan hartanah di seluruh dunia. – AGENSI