KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan selepas didapati menghalang pihak polis menjalankan tugas kawalan keselamatan ketika berlangsungnya perhimpunan aman solidariti Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Jalan Tun Razak, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 12 tengah hari ketika kira-kira 50 peserta berkumpul di lokasi berkenaan.
“Keadaan mulai menjadi tegang apabila terdapat peserta mula menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak berhadapan Kedutaan Amerika Syarikat.
“Kekecohan yang berlaku telah menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian mulut akibat disiku oleh peserta perhimpunan yang terlibat semasa menjaga kawalan keselamatan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Fadil, dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun kemudiannya ditahan kerana bertindak menghalang polis menjalankan tugas.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Beliau dalam pada itu menasihati penganjur dan peserta agar mematuhi undang-undang sedia ada semasa berhimpun, selaras dengan hak kebebasan berhimpun secara aman yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Polis menghormati kebebasan rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman dan bersedia memberi kerjasama serta sokongan bantuan keselamatan.
“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang melanggar undang-undang,” tegasnya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE