DALAM gelombang hiburan serba moden, nasyid sering dianggap sepi di persada arus perdana, namun malam Ahad lalu, konsert Kasih Kekasih Inteam 2025 di Ideal Live Arena, Petaling Jaya membuktikan sebaliknya.
Lebih 5,000 penonton memenuhi ruang, menyaksikan bagaimana irama rohani masih punya kuasa magnet, sanggup ditukar dengan tiket berbayar demi santapan jiwa.
Lebih dua dekad bertapak, Inteam tidak hanya membina nama, tetapi institusi harmoni yang membentuk landskap nasyid kontemporari.
Dari lagu-lagu awal hingga karya terkini, mereka menganyam muzik dakwah dengan naratif cinta, persahabatan dan pengorbanan, sekali gus mendidik sambil menghibur.
Seperti dijelmakan di pentas malam itu, kuartet Mohd. Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman, Hisyam Ahmad dan Hazamin Harun tampil segar.

Harmoni
Vokal harmoni mereka masih teguh, nyaring dan berlapis, sekali gus menolak tanggapan bahawa perjalanan panjang bakal mencalar stamina suara.
Lebih mengujakan sepanjang konsert, mereka berganti empat persalinan berbeza. Bermula dengan sut merah jambu, bertukar ke kurta bercetak nama Inteam, seterusnya baju Melayu putih suci, sebelum menutup dengan sut kelabu berkilau.
Setiap pertukaran kostum bagaikan metafora fasa perjalanan seni yang matang, namun kekal bergaya.
Tepat pukul 8.30 malam, pentas dibuka dengan lagu Nur Kasih, diikuti Siti Khadijah dan Akrab Persahabatan, dentuman muzik berpadu visual pentas berwarna-warni mencetuskan aura penuh semangat, sekali gus mengikat perhatian audiens dari detik pertama.
Keseluruhan malam menyaksikan 25 lagu didendangkan dengan satu susunan rapi, ibarat sebuah penceritaan yang berlapis-lapis bermula dari keindahan ukhuwah kepada renungan iman.
Kekuatan konsert tidak semata-mata dipasakkan pada nyanyian, tetapi pembawaan dan cara mereka berinteraksi dengan audiens.
Penonton pula tidak duduk kaku, ribuan ‘lightstick’ bercahaya khas direka dengan logo Inteam, menyala serentak.
Penulis menyifatkan suasananya seakan-akan konsert K-pop, tetapi dengan jiwa islamik dan barangkali itulah wajah baharu nasyid kontemporari, moden tanpa kehilangan roh.
Seterusnya segmen medley Sentuhanmu, Doa Seorang Kekasih dan Hembusan Kasturi melayangkan nostalgia ke era awal 2000-an kemudian, Kalimah Cinta disusuli sorakan gemuruh.
Sorakan memuncak lagi apabila penyanyi Khai Bahar tampil mendampingi Inteam untuk mendendangkan lagu Impian Kasih dan Rabiatul Adawiyah.

Kehadiran Khai menambah tekstur vokal, membuatkan audiens tidak henti-henti memberi tepukan.
Apa yang lebih mengagumkan, stamina vokal setiap anggota tidak luntur meskipun lagu demi lagu mendaki nada tinggi malah lontaran suara mereka kekal mantap seperti awal kemunculan.
Adrenalin konsert diteruskan dengan lagu berjudul Wanita, disertakan montaj istimewa tentang keluarga dan isteri setiap anggota.
Lagu Ratu Syahadah kemudian menyerlahkan sisi spiritual, sebelum medley taubat membariskan lagu KeredhaanMu, Damba Kasih dan Tanpamu membawa penonton ke ruang renungan mendalam.
Segmen istimewa hadir apabila empat anak muda, Yusuf, Husaini, Zakiy dan Mateen, muncul membawakan Dia Muhammad.
Kehadiran generasi pelapis tersebut seolah-olah memberi isyarat bahawa estafet nasyid akan terus hidup. Inteam kembali mengambil alih dengan alunan Taybah dan Pemergianmu seraya layar gergasi menayangkan wajah bekas anggota Inteam, Allahyarham Suhaimi Saad.
Emosi memuncak apabila anak arwah iaitu Salman, tiba-tiba muncul menyanyi bersama disertai sorakan penonton bercampur dengan esakan tangis.
Momen itu semakin menyayat hati apabila lagu Kias Cinta disusuli dengan Harum Setangkai Doa, Setanggi Syurga, Kasih Kekasih, Ya Rabbi Ya, Surat Cinta dan Segenggam Tabah dinyanyikan.
Pada segmen terakhir, Inteam menggemakan Selimut Kasih, Dia dan Solatullah, sebelum menutup tirai sekali lagi dengan lagu dengan Kasih Kekasih.
Gelanggang konsert itu bergema dengan nyanyian audiens yang sudah sebati melumati setiap lirik seperti enggan malam penuh barakah itu berakhir.
Keseluruhan persembahan hampir tiada cacat cela. Bunyiannya megah bersulam cahaya dramatik seiring busana serasi dan kualiti vokal terjaga.
Konsert itu menjadi pernyataan lantang bahawa nasyid mampu berdiri megah, menguasai arena moden tanpa kehilangan roh asal. Terima kasih dan syabas, Inteam!