KUANTAN – Seluruh rakyat negeri ini diseru untuk bersama-sama mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rakyat juga diminta meletakkan harapan agar 17 sukarelawan negara yang kini terputus hubungan dipercayai ditahan rejim zionis mendapat perlindungan Allah.
“Kita sentiasa menyeru supaya segala bantuan yang dihantar kepada saudara seagama kita ini mendapat perlindungan Allah.
“Bukan setakat sekarang, bahkan sebelum ini pun kita telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan,”katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan Enam di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.
Berdasarkan maklumat Sekretariat NGO-NGO Palestin (SNCC), setakat pukul 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia terputus hubungan selepas kapal mereka dipintas, selain 10 kapal kini berstatus ‘diserang’ manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat kecemasan.-KOSMO! ONLINE