PETALING JAYA – “Semua peserta kini berada dalam keadaan selamat dan kami telah melepasi titik di mana kapal Madleen pernah dipintas. Namun begitu, kami tetap berwaspada.”
Itu antara laporan terkini dari konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) sebentar tadi.
GSF menerusi kenyataan berkata, selepas melalui satu malam penuh dengan taktik ugutan oleh tentera Israel, mereka mengesahkan para peserta misi tetap tenang dan mematuhi semua prosedur keselamatan yang sepatutnya.
“Ketabahan dan komitmen kami membawa kami melalui kegelapan. Ancaman ini sama sekali tidak melemahkan kami, malah semakin menguatkan tekad kami untuk terus mara.
“Kami berlayar dengan semangat baharu untuk memecahkan kepungan, menghantar bantuan, dan menegakkan misi solidariti tanpa kekerasan bersama rakyat Gaza,” kata kenyataan itu.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, GSF yang membawa misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin kini dilaporkan sudah berjaya melintasi zon merah kira-kira pukul 9.40 malam ini.
Maklumat berkenaan diperoleh berdasarkan pemerhatian Kosmo! terhadap sistem Tracker Untuk Sumud Nusantara yang dipaparkan secara langsung di Sumud Nusantara Command Center
Selepas berjaya memasuki zon merah 3, konvoi akan berlayar melintasi zon merah 2 dan zon merah 1 yang disifatkan sebagai antara fasa kritikal dalam misi tersebut. – KOSMO! ONLINE