fbpx
SERAMAI 16 juta rakyat Malaysia layak menikmati subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter menerusi Inisiatif Budi95 bermula pada 1 Oktober lalu.

Majikan ‘rompak’ Budi95 pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tidak sampai 24 jam Budi Madani RON95 (Budi95) dilancarkan, terdapat segelintir majikan di negara ini di­kesan cuba mengaut untung de­ngan mengarahkan pekerja meng­gunakan kuota 300 liter petrol itu untuk kegunaan tugas-tugas syarikat.

‘Rompakan’ dalam diam itu ternyata memberi tekanan kepada golongan pekerja yang se­patutnya menggunakan kuota ter­sebut untuk urusan peribadi.

Keadaan itu membimbangkan kerana pekerja mungkin terpaksa membeli petrol RON95 pada harga tinggi tanpa subsidi sekiranya kuota mereka habis digunakan untuk urusan syarikat.

Seorang pekerja yang mahu dikenali sebagai Linda berkata, dia menerima arahan daripada majikan untuk menggunakan kuota peribadi Budi95 bagi urusan kerja bermula pertengahan bulan ini.

Katanya, sebelum ini majikannya menyediakan kad petrol untuk pekerja bagi urusan tersebut.

“Sejak semalam (30 September), majikan akan menamatkan penggunaan kad itu dan digantikan dengan ‘kad korporat’ bermula pertengahan Oktober ini.

“Walaupun kad korporat mempunyai had sehingga RM10,000 sebulan, majikan meng­arahkan kami menggunakan MyKad untuk mengisi petrol RON95 supaya syarikat dapat berjimat,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Linda berkata, had RM10,000 yang disediakan syarikat itu termasuk kos penginapan, makan minum dan keraian.

Katanya, inisiatif Budi95 yang diberikan kerajaan kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak sepatutnya menjadi hak individu, bukannya untuk kegunaan syarikat.

ADA pekerja mendakwa diugut majikan supaya menggunakan kuota 300 liter RON95 untuk kegunaan berkaitan syarikat.

“Bolehkah syarikat mengambil hak pekerja? Sekiranya kuota 300 liter yang diberikan kerajaan habis digunakan, adakah kami perlu membayar harga lebih mahal untuk membeli RON95 bagi kegunaan peribadi termasuk membawa keluarga bercuti?

“Adakah kami perlu membayar RM2.60 seliter untuk isi minyak kenderaan atau kegunaan mesin rumput di rumah?,” katanya yang sudah bekerja dengan syarikat itu selama lebih 10 tahun.

Jelas Linda, secara purata dia menggunakan lebih 500 liter petrol RON95 kerana perlu berjumpa pelanggan yang berada di negeri yang berbeza.

Nasib sama turut dikongsi seorang lagi pekerja dikenali sebagai Iqbal menerusi aplikasi Threads yang memberitahu, majikannya mengeluarkan arahan supaya pekerja menggunakan Budi95 untuk urusan syarikat.

Katanya, arahan tersebut berkuat kuasa kelmarin selaras dengan pelaksanaan Budi95 kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak.

“Arahan itu dibuat dengan alasan bagi menjimatkan kos operasi syarikat, khususnya melibatkan perkhidmatan menghantar pekerja kepada pelanggan.

“Mulai 30 September, semua pemandu wajib guna kad pe­ngenalan (MyKad) untuk mengisi minyak. Jika habis kuota cuba dapatkan kad pengenalan ahli keluarga. Tolong jimat penggunaan minyak,” katanya merujuk arahan majikannya.

Iqbal berkata, majikannya menyediakan perkhidmatan pembersihan dan pemandu akan menghantar tukang cuci mengikut permintaan pelanggan.

“Kenderaan pula bukan didaftarkan atas nama syarikat, tetapi nama persendirian (ahli keluarga majikan) jadi dia (syarikat) nak rombak gaji seperti mengurangkan gaji disebabkan tidak pakai (guna) subsidi RON95 RM1.99 hak kita,” katanya.

Lebih malang, dakwanya, syarikat mengugut untuk membuang pekerja sekiranya mereka ingkar akan arahan tersebut.

“Untuk makluman semua saya masih beri peluang untuk berbincang dengan bos. Andai kata saya dibuang, kemungkinan saya akan dedah nama syarikat dan buat report (laporan),” katanya sambil memberitahu sudah lebih dua bulan bekerja dengan syarikat tersebut.

Budi Madani 95 diperkenalkan kerajaan bagi memastikan golo­ngan berpendapatan sederhana dan rendah terus dapat menikmati RON95 pada harga mampu milik, sekali gus meringankan beban kos sara hidup.

Mulai kelmarin, seramai 16 juta rakyat Malaysia layak menikmati subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter, berbanding RM2.60 seliter sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN