PETALING JAYA – Kapal tentera Israel telah menghampiri misi Global Sumud Flotilla (GSF) selain membuat ugutan dan merosakkan sistem komunikasi bot-bot konvoi berkenaan, sebentar tadi.
Salah seorang aktivis, Rahmat Ikhsan atau dikenali PU Rahmat, melaporkan, kapal tentera Israel tersebut turut melakukan taktik berbahaya dengan mengelilingi bot utama misi, iaitu Alma dan Sirius.
“Sebuah kapal tentera Israel baru sahaja menghampiri bot kami, melakukan ugutan, merosakkan sistem komunikasi serta melakukan taktik berbahaya dengan mengelilingi bot utama kami, Alma dan Sirius!”
“Walaupun berlaku kerosakan pada peralatan elektronik, tiada siapa yang cedera dan kami terus belayar ke Gaza untuk memecahkan kepungan dan membuka laluan kemanusiaan!” kongsinya menerusi akaun Instagram Thiagoavilbrasil.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, konvoi GSF kini berada pada jarak kurang dari 145 batu nautika dari pesisiran Gaza.
Menerusi kenyataan oleh GSF, mereka akan terus berwaspada berikutan telah pun memasuki zon berisiko tinggi, hari ini.
Turut dilaporkan, aktiviti dron juga meningkat di atas kapal misi kemanusiaan GSF, hari ini.
Konvoi GSF yang disertai seramai 400 pelayar antarabangsa termasuk 34 rakyat Malaysia dijangka berdepan situasi lebih kritikal apabila bakal berlayar memasuki zon merah kira-kira pukul 7 malam ini. – KOSMO! ONLINE