PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan caruman mandatori bagi pekerja bukan warga Malaysia berkuat kuasa bermula gaji bulan ini, iaitu bagi caruman bulan November akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, dasar baharu ini menetapkan kadar caruman bagi pekerja dan majikan masing-masing pada dua peratus daripada gaji bulanan.
Peluasan liputan caruman ini jelas beliau, merangkumi semua pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia (tidak termasuk orang gaji domestik) selain mempunyai pasport dan pas kerja sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.
“Pelaksanaan caruman mandatori bagi pekerja bukan warga Malaysia merupakan satu langkah penting bagi KWSP dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial negara.
“Ia menangani jurang dalam liputan keselamatan sosial dengan menyokong amalan pasaran buruh yang lebih adil serta menyediakan akses kepada simpanan persaraan untuk pekerja daripada semua kewarganegaraan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, majikan yang belum berdaftar dengan KWSP dikehendaki mendaftarkan syarikat mereka bagi memastikan pematuhan dan peralihan yang lancar.
Jelas beliau, Ia boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara.
“Pendaftaran pekerja bukan warga Malaysia sebagai ahli KWSP yang melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian dilaksanakan secara automatik tanpa perlu hadir ke pejabat KWSP.
“Majikan boleh menyemak secara dalam talian melalui i-Akaun (Majikan) untuk memastikan pendaftaran dilaksanakan dengan tepat,” ujarnya.
Bagi pemegang pas lain beliau berkata, pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dilaksanakan melalui pejabat KWSP seperti biasa.
“Pekerja disarankan melengkapkan pendaftaran sebagai ahli KWSP dengan membuat pengemaskinian rekod cap ibu jari mulai Januari 2026 di pejabat KWSP berhampiran.
“Majikan dan pihak berkepentingan boleh merujuk kepada halaman khas di laman web KWSP, Caruman Untuk Pekerja Bukan Warganegara Malaysia – KWSP Malaysia untuk maklumat lanjut,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE