IPOH – Hujahan lisan perbicaraan kes bunuh pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie membabitkan pegawai kanan polis di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan kepada 14 dan 15 Januari 2026.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh baharu itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.
Pendengaran hujahan tersebut sebelum ini telah ditetapkan selama dua hari bermula hari ini dan esok.
Terdahulu, Afzainizam memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk membalas hujahan yang difailkan secara bertulis oleh pihak pembelaan pada 19 dan 30 September lalu.
“Jika diizinkan, pihak pendakwaan memohon tempoh masa sebulan untuk membalas hujahan bertulis tersebut,” katanya.
Sementara itu, peguam bela, M. Athimulan yang mewakili Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 46, memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan hujahan bertulis setebal 118 dan 15 muka surat.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala pihak pembelaan pula dibarisi peguam-peguam bela, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman. – KOSMO! ONLINE