PETALING JAYA – “Saya rasa ini panggilan terakhir. Saya tak tahu apa akan terjadi untuk hari-hari yang akan datang, mungkin tak dapat nak hubungi sesiapa”.
Itu ungkapan salah seorang peserta Global Sumud Flotilla, Musa Nuwayri yang menyentuh hati orang ramai.
Bagaimanapun, Musa meminta orang ramai mendoakan agar misi mereka berjaya dengan semua perserta dan sukarelawan pulang dengan selamat.
“Saya minta semua orang doakan. Kami datang 34 orang…bagi lah kami balik insya-Allah 34 orang juga dalam keadaan yang selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi panyampai di sebuah stesen radio tempatan, sebentar tadi.
Walaupun tidak pasti bagaimana dengan nasib para peserta yang menyertai misi berkenaan, Musa berkata, sasaran mereka telah pun tercapai.
“Paling penting, kami anggap misi ni dah berjaya. Semua orang bercakap tentang Gaza, Palestin dan Global Sumud Flotilla.
“Kami sampai atau tidak, kami dah berjaya pun capai apa yang kami sasarkan pada misi kali ini. Alhamdulillah,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, aktiviti dron dilaporkan meningkat di atas kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Global Sumud Flotilla menerusi akaun rasmi Instagram. – KOSMO! ONLINE