MALAYSIA Esports League 2025 (MEL25) secara rasmi melabuhkan tirainya baru-baru ini dengan menobatkan sembilan juara kebangsaan merentasi sembilan judul permainan.
Ini sekali gus mengekalkan status MEL25 sebagai kejohanan e-sukan terbesar peringkat akar umbi yang diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Liga yang berlangsung sejak Januari lalu itu menggabungkan pertandingan dalam talian dan acara fizikal di peringkat kebangsaan.
Sepanjang lapan bulan penganjurannya, MEL25 telah menjadi medan utama dengan menyediakan platform kompetitif kepada pemain tempatan.
Acara itu juga membuka ruang kepada pemilihan pemain berpotensi bagi diserap ke dalam pasukan kebangsaan untuk mewakili Malaysia di temasya antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.
Keistimewaan edisi kali ini terletak pada pengenalan format baharu melalui sistem carta pendahulu kebangsaan atau national leaderboard.
Melalui kaedah itu, mata prestasi pemain dikumpulkan sepanjang musim bermula Januari hingga Ogos, termasuk menerusi siri MyLeague anjuran MESF dan kejohanan di peringkat negeri, MEL State Open.
Pendekatan tersebut membolehkan pemain dan pasukan mengutip mata daripada pelbagai pertandingan, sekali gus melayakkan mereka mara ke peringkat akhir berdasarkan konsistensi prestasi.
Presiden Malaysia Esports Federation (MESF), Muhammad Naim Al Amin berkata, perubahan format itu memberi kelebihan besar kepada pembangunan bakat e-sukan negara.
“Berbeza dengan format tahun lalu yang bergantung kepada juara negeri, MEL25 tampil dengan sistem mata carta pendahulu lebih adil dan inklusif.
“Ia bukan sahaja membuka ruang kepada lebih ramai bakat baharu untuk menyerlah, malah memudahkan proses mengenal pasti atlet terbaik secara berterusan bagi membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah MEL 25 telah berlangsung di ESI Hub, Spacerubix, Puchong, Selangor dengan penuh meriah.

Acara tersebut turut dihadiri Timbalan Presiden MESF, Afiq Fadhli Narawi, Penolong Naib Presiden Kanan Esports Integrated, Qistina Iman Abd Manaf serta wakil penerbit permainan yang dipertandingkan.
Kerjasama strategik antara Esports Integrated, KBS, Impact Integrated dan MESF telah menjadi faktor utama kejayaan edisi kali ini. MEL25 bukan sahaja menjadi medan persaingan, malah berfungsi sebagai jambatan merapatkan jurang dalam komuniti e-sukan di negara ini.
Ini secara tidak langsung membuka akses lebih luas kepada bakat muda, memberi sokongan rasmi kepada pembangunan akar umbi dan mewujudkan laluan kerjaya jelas kepada atlet untuk melangkah ke tahap profesional.
Dengan pelaksanaan format baharu, penganjuran kejohanan menjadi lebih tersusun, sekali gus mengukuhkan kedudukan MEL25 sebagai platform akar umbi paling berpengaruh di Malaysia.
Kejayaan itu memacu perkembangan industri e-sukan negara ke arah lebih kompetitif, profesional dan mampan, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia antara hab e-sukan utama di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated, Ahmed Faris Amir menegaskan, kejayaan MEL25 adalah manifestasi usaha bersama kerajaan, industri dan komuniti.
“Format baharu ini bukti komitmen Esports Integrated dalam mendukung visi strategik kerajaan untuk menyediakan platform yang lebih mampan dan menyeluruh dalam mencungkil bakat e-sukan negara,” ujarnya.
“Daripada pemain kasual di peringkat negeri hinggalah ke pentas kebangsaan, setiap individu diberi peluang sama rata untuk menyerlah.
“Inilah ekosistem inklusif yang kita mahu bina supaya lebih ramai bakat tempatan mampu menembusi persada antarabangsa,” katanya.
Untuk rekod, peringkat akhir menampilkan sembilan kategori permainan utama iaitu eFootball Mobile, PUBG Mobile, Free Fire, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Tekken 8, Street Fighter 6, King of Fighters XV, Gran Turismo 7 dan Honor of Kings.
Persaingan yang berlangsung di gelanggang maya dan fizikal itu menawarkan hadiah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM192,500.
Dalam perlawanan penuh dramatik, WPS DERHAKA atau Muhammad Hafiz Norhadi dinobatkan sebagai juara eFootball Mobile.
Pasukan Sentry Symphony Esport pula mengungguli kategori PUBG Mobile, manakala Maqna Esports Club berjaya merangkul gelaran juara Free Fire.
Bagi kategori MLBB, kemenangan berpihak kepada ARCADE ESPORTS MY, manakala MYPRO ZABA atau Muhammad Zarif Aiman Aris menguasai Tekken 8.
Sementara itu, IamChuan atau Quah Ban Chuan pula membuktikan keunggulan dengan meraih dua gelaran serentak iaitu Street Fighter 6 dan King of Fighters XV.
Kejayaan Gran Turismo 7 menjadi milik DannyR_3967 atau Dhanesh Wigneswaran, manakala FY GAMING menutup senarai juara dengan menguasai Honor of Kings.














