PETALING JAYA– Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat supaya tidak leka dan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana, khususnya menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bakal tiba.
Beliau menegaskan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2025 yang dianjurkan setiap Oktober bukan sekadar program tahunan, sebaliknya platform untuk mengukuhkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat.
“Bencana tidak dapat dielakkan, tetapi risikonya boleh diurus. Kesannya juga mampu diminimumkan jika setiap lapisan rakyat benar-benar bersedia.
“BKN bukan acara untuk meraikan bencana, tetapi untuk mengarusperdanakan budaya kesiapsiagaan dalam negara,” katanya di media sosial hari ini.
Menurut Zahid, semua pihak perlu memainkan peranan, bukan sahaja kerajaan melalui agensi berkaitan, malah komuniti setempat serta orang awam.
“Pengurusan bencana adalah tanggungjawab bersama. Kalau rakyat ambil mudah, nyawa dan harta benda akan menjadi taruhan,” ujarnya.
Beliau menyeru masyarakat menyemai sikap berjaga-jaga dalam kehidupan seharian, selain sentiasa peka dengan maklumat terkini mengenai cuaca, amaran bencana dan langkah mitigasi yang diumumkan kerajaan.
“Sentiasa siaga, bencana terjaga,” tegasnya.- KOSMO! ONLINE.