KUALA KRAI – Peruntukan sebanyak RM1 billion digunakan oleh Pengurusan Aset Air Bersih (PAAB) untuk kerja-kerja penggantian paip uzur, pembinaan tiga loji rawatan air (LRA) baharu, sistem agihan bekalan dan tangki air di seluruh Kelantan sehingga 2030.
Pengerusi PAAB, Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula awal tahun hadapan dan dijangka mengambil masa lebih kurang lima tahun untuk disiapkan.
Menurutnya daripada jumlah itu, anggaran RM600 juta bagi pembinaan tiga LRA iaitu dua di Machang dan sebuah lagi di Tanjung Mas, Kota Bharu dengan kapasiti air keseluruhan berjumlah 120 juta liter sehari.
Katanya, peruntukan sebanyak RM200 juta digunaka untuk kos penggantian paip uzur sepanjang 330 kilometer manakala RM200 juta lagi membabitkan kerja-kerja sistem agihan dan tangki bekalan air.
“Kesemua projek sedang dirancang dan pembinaannya akan dilaksana secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada 2030.
“Projek itu bertujuan menaik taraf sistem bekalan air di Kelantan untuk mengatasi masalah tekanan air rendah dan meningkatkan margin rizab air terawat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Santuni Madani Bersama PAAB sempena pembinaan tangki air baharu berkapasiti 4,500 liter juta di Madrasah Kampung Lubok Simpul, Mukim Pahi, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jaseni berkata, PAAB sebelum ini sudah melaksanakan projek pembinaan LRA Bukit Cupak, Gua Musang bernilai RM47.9 juta bermula November 2022.
Katanya, LRA itu dijangka siap pada bulan hadapan bagi keperluan seramai 25,000 penduduk di jajahan tersebut dengan berkapasiti 10 juta liter air sehari.- KOSMO! ONLINE