JOHOR BAHRU – Seluruh rakyat Malaysia digesa berdiri teguh serta bersatu hati mempertahankan pasukan bolasepak kebangsaan agar tidak diperlekehkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam memperjuangkan isu melibatkan maruah bola sepak negara.
Beliau berkata, maruah negara adalah sesuatu yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan, malah laporan berhubung dokumen tidak wajar dijadikan alasan untuk merendah-rendahkan Malaysia.
“Setiap proses penilaian oleh FIFA telah melalui tapisan ketat, manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut melaksanakan tanggungjawab menyerahkan semua dokumen yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, FIFA memaklumkan FAM dan pemain terlibat akan dikenakan tindakan tegas selepas melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain berkenaan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Menerusi kenyataan rasmi badan induk bola sepak antarabangsa itu, FAM telah menyerahkan dokumen palsu bagi membolehkan tujuh pemain terbabit beraksi untuk skuad kebangsaan.
Susulan itu, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) mempersoalkan apakah terdapat entiti luar yang mempengaruhi keputusan FIFA berhubung tindakan tegas terhadap FAM dan tujuh pemain.
Baginda bertitah, FAM telah mengikut proses dalam menaturalisasikan pemain-pemain terlibat, dengan kerjasama kerajaan Malaysia dan FIFA sendiri.
Mohd. Hairi yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO itu menyeru seluruh EXCO Sukan negeri-negeri lain, Menteri serta pihak berkepentingan agar bersama-sama menunjukkan solidariti mempertahankan kepentingan negara.
“Inilah masanya kita bersatu, bukan menuding jari mencari salah. Apa yang lebih utama adalah memastikan Harimau Malaya tidak dihina di pentas antarabangsa. Harimau Malaya bukan sekadar pasukan bola sepak, ia simbol maruah Malaysia. Dan maruah ini mesti kita pertahankan bersama,” katanya.- KOSMO! ONLINE