KUALA LUMPUR – Seperti hasrat yang direalisasikan menerusi Malam Ini Gua Rock, konsert Datuk M. Nasir CIPTA 3 membuktikan usia bukan penentu untuk seniman ikonik dengan ribuan karya hebat itu sekali lagi memenuhkan stadium dengan ribuan penonton dalam sebuah konsert.
Pada usia 68 tahun, M. Nasir berdiri gah disaksikan buat kali ketiga di Axiata Arena, Bukit Jalil dalam tempoh dua tahun sejak CIPTA kali pernah berlangsung pada Ogos 2024.
Lebih istimewa, Malam Ini Gua Rock juga bukan penamat kepada rangkaian Cipta mahupun siri konsert M. Nasir.
‘Semasa buat CIPTA 1 dan 2, CIPTA 3 sudah memang sudah ada dalam perbincangan. Orang melihat nama N45IR dan N46IR sebagai satu jenama.
“Jika ada rezeki dan konsep yang sesuai, akan ada N47IR dan N48IR. Perancangan saya, konsert ulang tahun ke-50 pembabitam beliau dalam bidang seni akan jadi yang terakhir dan paling besar,’ kata Iman Tang, selaku penerbit Icon Entertainment.
Tambah Iman, tema persembahan pada masa akan datang boleh menjurus ke arah malam runut bunyi (OST) atau mungkin malam dangdut, bergantung pada kesesuaian.
Bagaimanapun tegas Iman, konsert susulan bukan sekadar sebagai kesinambungan jenama CIPTA.
“Selagi beliau sihat, selagi ada peminat setia serta sokongan media, kita akan teruskan. Tetapi bagi saya, konsep amat penting.
“Saya tidak mahu sekadar buat konsert, adakan sidang media dan ambil gambar untuk poster tepi tiang. Itu bukan cara saya. Saya lebih menekankan soal konsep sebelum menganjurkan sebarang konsert,” jelasnya.

Sama dengan M.Nasir, penganjuran sesebuah konsert penting untuk kelestarian karier seseorang penyanyi dan pemuzik sepertinya. Kena konsistensi dan berterusan.
Maestro muzik itu juga membuktikan rock tidak pernah mati dalam tubuh sendiri, begitu juga jiwa-jiwa peminat yang hadir, barangkali semuanya pernah paling tidak sekali telah menyaksikan edisi CIPTA.
“Saya memang rock dulu, cuma saya rasa ini anugerah untuk saya, terima kasih atas peluang, ini anugerah untuk saya kerana dapat mengekspresikan semua itu dalam konsert yang besar seperti ini,” kata M. Nasir.
Dengan kerjasama strategik rakan penaja Etiqa, konsert anjuran Icon Entertainment tersebut berlangsung selama hampir tiga jam biarpun pada awalnya, lelaki dengan gelaran Sifu itu berseloroh, persembahannya bakal berlarut sehingga pukul 3 pagi.
Untuk kali ketiga, debaran menantikan apa lagi kejutan yang mulanya dirasakan seperti tidak sekencang edisi agak meleset apabila M. Nasir tiba-tiba muncul seperti watak hero Indiana Jones versi AI yang bergegas menuju ke lokasi jatuhnya tahi bintang. Sesuatu yang menarik terjangka dalam fikiran.
Menariknya, komposer, penulis lirik juga pelakon itu muncul dengan imej santai tidak terlalu ranggi seperti poster, sebaliknya menuai sorakan saat ‘terangkat’ ke pentas dengan mengenakan sejenis kain hampir menyerupai tartan Scottish, namun katanya menggunakan sehelai kain pelikat berwarna merah. Stailo pak haji!
Membuka pentas dengan Isi Atau Kulit, Musnah dan Jerangkung Dalam Almari, kemudiannya Pembakar Perasaan, Opera Hidup dan Apa Lagi, M. Nasir mengakui pemilihan lagu konsert kali ini agak sukar. Daripada lebih 40 buah lagu, 10 judul terpaksa diketepikan agar persembahannya yang biasa berlangsung sepanjang lebih tiga jam dipendekkan menjadi sekitar dua jam 30 minit,
Lagu-lagu lain yang didendangkan termasuklah Laila Namamu Teratas, Srikandi Cintaku
Jiwa-Jiwa Luka, Rupa Tanpa Wajah, Pertama Dan Selamanya, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Falsafah Cinta, Dibayang Awan, Ukiran Jiwa, Meniti Titian Usang, Di Jalan Sesat, Kau Ratnaku, Aku Dah Bosan, Cinta Sepi, Saatku Idamkan dan Gemuruh.

Seperti yang dijanjikan M. Nasir turut mengumumkan pemenang tiket bertuah yang menjadi milik anak muda bernama Mirza Haikal. Mirza membawa pulang sebuah motosikal Harley Davidson berserta topi keledar dan jaket tajaan Etiqa bernilai sekitar RM114,000. – KOSMO! ONLINE