fbpx
Ahmad Nabil sedang menghantar pesanan salah seorang pelanggannya di Kerteh, Kemaman semalam.

‘Tangan putus, nadi saya terhenti hampir setengah jam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Meskipun kehilangan tangan kiri akibat kemalangan sejak lapan tahun lalu, seorang pemuda membuktikan kekurangan diri bukan penghalang mencari rezeki, malah tidak lagi memerlukan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ahmad Nabil Rosli, 26, yang bekerja sebagai penghantar makanan langsung tidak kekok mengendalikan motosikalnya biarpun perlu menunggang hanya menggunakan sebelah tangan.

Malah, anak ketiga daripada enam beradik itu mampu menghantar lebih 30 pesanan setiap hari.

Katanya, tangan kirinya putus dalam kemalangan ngeri yang turut menyebabkan motosikalnya terbakar pada 14 Mei 2017.

“Sewaktu kejadian, saya bernasib baik kerana tercampak jauh dan tidak terseret bersama motosikal yang sedang marak terbakar.

“Begitupun nadi saya terhenti hampir setengah jam dan kehilangan banyak darah sehingga terpaksa dimasukkan 30 pek darah ganti,” katanya ketika ditemui di Kerteh di sini semalam.

Menurutnya, selain koma selama tiga hari, dia juga tidak dapat berjalan seketika ekoran gangguan saraf pada kaki kiri serta rahang kiri dan belakang leher retak.

Dia mengakui semangatnya untuk terus hidup pudar pada masa itu sebelum dipujuk dan disedarkan oleh ibu bapanya.

“Saya mula faham Allah memberikan peluang kedua yang tidak boleh disia-siakan.

“Lima bulan kemudian saya kembali bangkit bermula bekerja sebagai pekerja kedai makan dan kemudian menjadi penghantar makanan pada 2021,” katanya.

Ujarnya, dia bukannya tidak mahu memakai tangan palsu, tetapi penggunaannya sebelum ini menyebabkan lehernya yang pernah retak akibat impak nahas terasa sakit.

“Saya kini sudah boleh berdikari menyara diri tanpa memerlukan bantuan bulanan JKM lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI