DIKENALI dengan rekaan pengantin khas dan couture untuk pelanggan eksklusif, Atelier Teh Firdaus terus mengekalkan identiti garisan bersih serta keanggunan minimalis yang menjadi DNA jenamanya di pentas fesyen.
Rekaannya pernah menawan hati kerabat Diraja Brunei, antaranya Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Dayang Anisha Rosnah Adam yang tampil mempesona dalam helaian pengantin ciptaan Firdaus sehingga menjadi sebut-sebutan satu ketika dahulu.
Namun di pentas Kuala Lumpur Fashion Week baru-baru ini, pereka bernama penuh Muhammad Firdaus Awang Teh yang juga merupakan graduan rekaan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak itu tampil lebih berani dengan koleksi sulung dinamakan Obscura.
Koleksi tersebut menyerlah melalui siluet berunsur skulptur, jahitan teliti serta palet warna terhad hitam dan biru gelap yang penuh dramatik.
“Obscura terinspirasi daripada dunia bayangan dan seni arca, tentang bagaimana cahaya dan gelap saling berinteraksi lalu melahirkan siluet yang misteri, namun menawan.
“Daripada bentuk-bentuk dramatik itu, lahirlah busana yang tetap feminin tetapi memancarkan kekuatan dan keberanian.
“Ia adalah eksperimen visual antara couture dan avant-garde, menolak sempadan tipikal bridal signature Teh Firdaus. Ini untuk memberi satu pengalaman yang lebih teatrikal di pentas fesyen,” katanya kepada CitaRasa.

Di pentas peragaan, Obscura mempersembahkan busana malam serta busana siang ke malam yang berinspirasikan seni bina.
Struktur arkitektonik dilembutkan oleh pergerakan fabrik halus dan kemasan mewah menjadikan koleksi ini seimbang antara tegas dan anggun.
Sebanyak 18 persalinan eksklusif dipersembahkan, setiap satunya dirangka dengan naratif tersendiri.
Aksesori mewah daripada DeGem Diamond bersama tata rias ringkas dan kemas melengkapi suasana koleksi yang minimalis tetapi penuh keyakinan.
Keseluruhan hasil ini terlahir daripada proses kreatif selama enam bulan, bermula daripada lakaran, pemilihan fabrik, pembangunan pola sehingga ke perincian terakhir.
Hasilnya adalah koleksi yang sarat dengan intensiti, ketelitian serta paduan seni bina, sisi feminin dan kekuatan.

terdiri daripada
18 persalinan yang terinspirasi daripada dunia bayangan
dan seni
arca.
Dengan Obscura, Teh Firdaus melangkah yakin ke pentas peragaan, berakar umbi di Malaysia tetapi digarap dengan visi bertaraf antarabangsa.
Menurut Teh Firdaus, Obscura bukan sekadar eksperimen sementara, sebaliknya manifestasi sisi lain dirinya sebagai pereka sekali gus menjadi peluasan naratif jenama yang telah lama diasaskan.
“Walaupun bridal akan kekal sebagai identiti utama, koleksi ini membuktikan bahawa Teh Firdaus mampu bergerak lebih jauh, menyelami pelbagai dimensi seni fesyen tanpa mengorbankan DNA asal.
“Obscura hadir sebagai eksplorasi bentuk dan struktur, mengimbangi potongan moden dengan draping lembut, menghasilkan busana yang tampak abadi tetapi tetap berorientasikan masa hadapan.
“Ia merupakan kajian tentang proportion, cahaya dan bayang yang akhirnya dipermudahkan menjadi perkara paling penting dalam rekaan,” jelasnya.














