SEBERANG PERAI – Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut baik pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) dan menyifatkannya sebagai langkah penjimatan berkesan dalam aktiviti harian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, beliau akan memanfaatkan pemberian itu dengan sebaik mungkin.
“Ini merupakan langkah berkesan, membantu penjimatan dalam pekerjaan seharian,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, anggota askar wataniah, Sarjan Muhammad Azizi Idris, 36, bersyukur kerana program Budi95 yang diperkenalkan Kerajaan Madani membantu menangani kos sara hidup rakyat.
“Terima kasih atas sumbangan (Budi95) yang diberikan kepada penjawat awam dan rakyat. Ini membuktikan kerajaan menzahirkan janji dan berusaha membantu rakyat dalam mendepani kos sara hidup yang makin mencabar,” ujarnya.
Bagi Penolong Ketua Balai Polis Jelutong, Sarjan Mejar Herman Deng, kaedah yang diguna pakai di stesen minyak adalah mudah dan menjimatkan masa.
“Tidak perlu beratur di kaunter, bagi kami yang sering mengejar tugasan, kemudahan seperti ini amat diperlukan,” katanya ketika ditemui di stesen minyak Shell di Jelutong.
Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran RM2.05 seliter menerusi inisiatif Budi95 yang mula dilaksanakan tengah malam tadi. – KOSMO! ONLINE