MALAYSIA kini mencipta sejarah dalam landskap seni tempatan melalui pameran Discovering a Beautiful Mind yang mempertemukan 50 artis neurodivergen dan neurotipikal.
Neurodivergen merujuk kepada individu yang mempunyai cara berfikir, belajar dan memproses maklumat yang berbeza daripada majoriti masyarakat, contohnya individu dengan autisme, ADHD, disleksia atau ciri unik lain.
Neurotipikal pula merujuk kepada individu normal yang berfungsi mengikut norma neurologi majoriti atau dengan kata lain, mereka memiliki pemikiran yang dianggap standard oleh masyarakat umum.
Dalam konteks Discovering a Beautiful Mind, kedua-dua kumpulan ini bekerjasama untuk menghasilkan karya seni sekali gus menunjukkan bahawa kreativiti tidak terhad oleh perbezaan neurologi dan setiap minda mempunyai potensi untuk diekspresikan dan dihargai.
Pameran yang menampilkan lebih 200 karya seni berlangsung selama 12 hari di The Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini raih sambutan luar biasa daripada pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.
Pengerusi Galeri Kita, Datuk Aminuddin Abdul Manaf menekankan bahawa pameran ini bertujuan memberi peluang sama rata kepada semua artis, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan.
“Terlalu kerap individu neurodivergen hanya dilihat dari lensa kebajikan, sedangkan hakikatnya mereka adalah pengkarya dengan visi dan nilai luar biasa. Pameran ini membuktikan mereka mempunyai potensi untuk berkarya dan berdaya maju.
“Kami meletakkan mereka sebaris dengan artis profesional yang terlatih. Projek ini memberi mereka platform untuk mengekspresikan minda kreatif masing-masing, mengembangkan bakat, dan berkolaborasi dalam suasana yang inklusif,” katanya.

Pameran ini bukan sekadar tontonan seni, tetapi sebuah gerakan inklusif yang mendefinisikan semula seni sebagai jambatan kreativiti, perpaduan, pemerkasaan dan kebanggaan negara.
Projek ini dianjurkan Galeri Kita dengan kerjasama Artists’ Corner, yang sejak 10 tahun lalu telah membuka ruang untuk anak-anak dan remaja mengekspresikan diri melalui seni.
Selain dorongan Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Discovering a Beautiful Mind turut mendapat sokongan Kraftangan Malaysia, Heriot-Watt University Malaysia, Stabilo serta Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Persatuan Kebangsaan Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak Malaysia (NAECCEM), Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Selangor Creative Art Movement (Scream).

Penaja-penaja acara ini termasuk The Curve, Boustead Holdings, YTL, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Razzaq AK Resources.
Pameran ini juga menekankan pengalaman praktikal dan interaktif apabila kanak-kanak dan keluarga boleh menyertai bengkel seni, zon interaktif dan aktiviti kreativiti bersama artis.
Dengan pendekatan ini, peserta muda dapat mempelajari teknik sambil mengekspresikan minda kreatif mereka tanpa batasan formal.
Kongsinya, inisiatif ini turut menyentuh isu sosial yang lebih luas dan menekankan aspek ekonomi serta pembangunan komuniti seni melalui pembelian karya seni oleh para pengunjung.
“Hasil jualan disalurkan kepada pembangunan seni pelajar yang mengikuti bengkel anjuran Galeri Kita dan Artists’ Corner.
“Produk seni yang dijual adalah 100 peratus hasil Malaysia, daripada lukisan, ukiran, hingga kertas tangan tradisional yang dibangkitkan kembali sebagai medium kreatif moden,” katanya.















