SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil tindakan segera berhubung kes buli melibatkan mangsa seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor yang didakwa mengalami tekanan emosi serius termasuk menunjukkan kecenderungan membunuh diri.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kes membabitkan pelajar berusia 14 tahun itu kini dalam siasatan dan tindakan kementeriannya.
“Sudah dalam tindakan kita dan sedang siasat perkara ini kerana aduan itu memang bagi saya harus diambil tindakan yang segera untuk ditangani.
“Jadi, Ketua Pengarah Pendidikan sedang menyiasat dan kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Temu Rakyat Parlimen Nibong Tebal di Dewan Serbaguna Sungai Bakap di sini, hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang murid perempuan didakwa mengalami tekanan emosi serius termasuk menunjukkan kecenderungan membunuh diri selepas berulang kali menjadi mangsa buli di sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor.
Menerusi satu sidang akhbar di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur, ibu mangsa, Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, 31, berkata, anaknya itu pernah beberapa kali menceritakan kejadian dibuli sejak berpindah ke sekolah itu iaitu pada Julai lalu, namun masalah tersebut tidak pernah selesai walaupun aduan telah dibuat kepada pihak sekolah.
Mengulas isu fitnah mengaitkan beliau dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Fadhlina memberitahu, kes tersebut sedang dalam tindakan peguamnya. – KOSMO! ONLINE