fbpx
MOHD. AZRUL (dua dari kiri) bersama sukarelawan Food Bank Malaysia yang menjayakan projek Warong Jalan Day di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Dapat duit pencen pun sanggup tipu bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting sebagai salah satu tempat bergantung golongan memerlukan yang diuji dengan tekanan dan kesempitan hidup.

Bantuan yang dihulurkan bukan sekadar dapat mengisi perut yang lapar, malah mampu membangkitkan semangat mereka yang terkesan untuk bangkit meneruskan kehidupan.

Antara NGO yang aktif ialah Pertubuhan Bank Makanan Malaysia atau dikenali sebagai Food Bank Malaysia yang mula membantu rakyat sejak pandemik Covid-19 pada 2020.

Walaupun berdepan cabaran kewangan dan persepsi masyarakat, perjuangan mereka tetap diteruskan sehingga kini.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, wartawan Kosmo! Ahad, NORLIDA AKMAR IDROS menemu bual Presiden Food Bank Malaysia, Mohd. Azrul Mohd. Razak untuk mengetahui lebih lanjut perjalanan dan cabaran yang dihadapi NGO itu selama ini.

KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan tentang Food Bank Malaysia?
MOHD. AZRUL: Idea penubuhan Food Bank Malaysia tercetus ketika pandemik Covid-19 apabila ramai yang hidup susah kerana hilang pekerjaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Bila hilang kerja, ramai yang bekerja di bandar-bandar besar terutama di Kuala Lumpur pulang ke kampung sekali gus menyebabkan jumlah mereka yang memerlukan bantuan makanan bertambah.

Sebagai NGO, niat kami adalah untuk membantu agensi Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri dalam memastikan setiap keluarga terkesan mempunyai bekalan makanan mencukupi.
Waktu itu, jumlah orang yang memohon bantuan makanan terlalu ramai, jadi kami faham pihak kerajaan pun tidak mampu untuk menguruskan semua dalam masa singkat.

Bagaimana perjalanan sebagai sebuah NGO kebajikan sehingga hari ini?
Kami terus berjuang membantu golongan memerlukan menerusi sumbangan makanan, kafe makan percuma, penye­diaan katil hospital dan keperluan lain mengikut permohonan diterima.

Namun begitu, kami terpaksa menutup kafe makan percuma yang dibuka sejak empat tahun lalu ekoran kekurangan dana.

Kafe makan percuma itu pada awalnya dibuka tiga kali seminggu, namun terpaksa dibuat sekali seminggu ekoran kekurangan dana sebelum ditutup pada Julai lalu.
Bahan mentah kita beli dan juadah dimasak sendiri sukarelawan Food Bank Malaysia.

Inisiatif itu dibuat bagi memberi peluang golongan asnaf membawa keluarga menikmati makanan lazat dan berkhasiat di kafe.

Kita tahu ramai di luar sana yang tidak berpeluang membawa anak-anak makan di kafe kerana terpaksa berjimat.

Program kafe makan percuma itu kini digantikan dengan Warong Jalan Day di lokasi sama iaitu di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Menerusi program baharu itu, kita adakan wayang pacak bersekali makan dan minum dengan bayaran RM5 seorang. Kesemua wang bayaran itu akan dijadikan sebagai dana kebajikan.
Namun untuk golongan asnaf yang datang, kita tetap menawarkan juadah secara percuma.

MENURUT Mohd. Azrul, cabaran utama bagi NGO kebajikan seperti Food Bank Malaysia adalah sumbangan kewangan yang semakin kurang pada masa ini.

Apakah cabaran yang terpaksa ditempuhi sebagai NGO kebajikan?
Cabaran utama adalah dari segi sumbangan dan juga kewangan. Semasa Covid-19, ba­nyak syarikat yang menyumbang bekalan makanan.

Selepas Covid-19, bantuan berkurangan dan kita tetap bergerak dengan memohon sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat dan pasar raya besar.

Kesukaran untuk mendapatkan bantuan kewangan bertambah apabila sekarang ini banyak cerita tentang NGO salah guna dana awam dan pecah amanah bertebaran di media sosial, jadi kepercayaan orang kepada NGO berkurangan.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai berfikir banyak kali untuk menyumbang dan ia sa­ngat memberi kesan kepada NGO kecil seperti Food Bank Malaysia.

Sebagai salah satu alternatif, kami menggalakkan orang ramai membawa juadah dari rumah untuk dinikmati pengunjung Warong Jalan Day termasuk golongan asnaf yang hadir.
Jika tidak mahu menyumbang daripada segi kewangan, boleh datang bawa juadah makanan.

Bagi yang mahu menyumbang bekalan makanan kering, juga kami alu-alukan dengan bantuan itu akan diagihkan kepada golo­ngan memerlukan.
Sukarelawan di Food Bank Malaysia mempunyai komitmen kerja masing-masing, jadi agak sukar untuk kami menjana kewangan sendiri menerusi perniagaan secara lebih serius.

Apakah cara untuk memperbetulkan persepsi negatif masyarakat?
NGO perlu telus dan menjaga amanah orang ramai dengan sebaiknya.

Kita di Food Bank Malaysia memohon sumbangan mengikut keperluan dan akan menutup permohonan sebaik sahaja mencapai sasaran jumlah wang diperlukan.
Seterusnya setiap perbelanjaan dana itu saya maklumkan di media sosial.

Kami tidak memberi bantuan kewangan tetapi bekalan makanan dan berupa barangan se­perti katil hospital.

Apapun kena telus, sukarelawan di Food Bank Malaysia masing-masing bekerja dan tidak lokek menyumbang sekiranya memerlukan.

Kami bukanlah NGO yang ba­nyak duit, sebaliknya kami pernah mengumpul wang sesama sendiri menggunakan wang gaji untuk mencukupkan pembayaran bil utiliti atau menjayakan program dijalankan.

Bantuan kewangan masih sa­ngat diperlukan untuk kos operasi seperti pembayaran sewa premis, bil utiliti serta petrol dan diesel kenderaan.

Apakah latar belakang pe­nerima bantuan dan bagaimana sumbangan disalurkan?
Latar belakang pemohon bantuan makanan ini antaranya terdiri daripada gelandangan, peminta sedekah dan ibu tunggal yang mempunyai ramai anak serta orang kurang upaya (OKU) serta individu yang tidak dapat bekerja kerana ahli keluarga ­sakit.

Kita akan menemu bual mereka terlebih dahulu bagi mendapatkan sedikit maklumat seperti serba sedikit latar belakang, apa masalah dihadapi dan peranca­ngan masa hadapan mereka.

Ia bagi memastikan sumba­ngan itu diterima oleh mereka yang benar-benar memerlukan kerana ini adalah amanah orang. Kita tidak boleh beri sewenang-wenangnya.

Sebelum ini kita ada mengesan penerima sumbangan menjual semula bekalan makanan diterima untuk mendapatkan wang.

Kita kesal kerana wang itu dipercayai digunakan untuk aktiviti tidak bermoral disyaki bagi mendapatkan dadah.

Bila ada kes seperti itu, individu itu akan disenarai hitam untuk menerima bantuan.

Selain itu, ada juga pemohon yang didapati bukanlah daripada golongan yang benar-benar memerlukan.

Kita dapati ada yang mene­rima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mempunyai pencen serta ada ramai anak yang telah bekerja.

Masih ada golongan asnaf yang lebih layak untuk menerima bantuan ini.

Ada juga pemohon yang mahu mendapatkan bantuan makanan setiap bulan, namun kita tidak dapat memenuhi permintaan itu.

Walau bagaimanapun, kita tidak menafikan bahawa ramai juga penerima bantuan yang mempunyai sikap terpuji.

Mereka hanya akan ambil makanan yang diperlukan, sebagai contoh ada yang memulangkan sardin dalam tin sebab tidak memerlukannya.

MOHD. AZRUL mendedahkan, pihaknya mengesan penerima sumbangan menjual bekalan makanan diterima untuk mendapatkan wang tunai.

Bagaimana trend permohonan bantuan pada masa ini?
Jumlah permohonan menurun daripada ratusan sehari semasa pandemik Covid-19 kepada kira-kira 30 permohonan sebulan ketika ini.

Kita nampak trend terus berkurangan selepas rakyat me­nerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

Bila ada Sara, rakyat yang kurang berkemampuan tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan bekalan makanan setiap bulan.

Namun begitu, masih ada yang memerlukan bantuan bekalan makanan ini atas alasan tertentu, jadi kami di Food Bank Malaysia akan membantu apa yang termampu.
Di samping itu, kami juga membantu mereka yang memerlukan katil hospital. Foodbank Malaysia akan mencari katil-katil hospital yang tidak digunakan lagi untuk dipinjamkan kepada golongan memerlukan.

Penyumbang ini kebiasaannya daripada keluarga kepada pesa­kit yang telah meninggal dunia.

Kerjasama daripada pihak lain?
Kita memohon sumbangan bekalan makanan daripada syarikat-syarikat korporat dan juga pasaraya.

Baitulmal dari Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) juga pernah membantu.

Selain itu, kita bekerjasama dengan beberapa pasar raya yang mana kita dapatkan sayur-sayuran yang tidak habis dijual tetapi masih dalam keadaan baik untuk diagihkan kepada penduduk.

Selain sayur, kita juga dapatkan makanan yang menghampiri atau dua hingga tiga bulan sebelum tarikh luput untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Semua barangan itu masih dalam keadaan baik dan biasa­nya golongan susah ini tidak akan menyimpan lama barangan itu.

Kita juga menjalinkan kerjasama dengan Kolej Komuniti Sungai Petani dan Sik dengan mewujudkan Food Bank Satelit di situ untuk pengagihan bekalan makanan di kawasan tersebut.
Bagi yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Pertubuhan Bank Makanan Malaysia 5520 9523 6240 (Maybank) dan mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web www.foodbankmalaysia.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN