PETALING JAYA – Sekumpulan pelancong dipercayai dari Indonesia berkumpul dan berjoget diiringi muzik kuat di taman Suria KLCC, Kuala Lumpur sehingga mengundang kemarahan rakyat Malaysia.
Menerusi video dimuat naik pengguna Thread Ahmad Syauqi Abd. Razak memaparkan sekumpulan pelancong wanita memakai tudung berwarna merah jambu berkumpul di lokasi itu sambil berjoget.
Turut kelihatan polis bantuan tiba di lokasi dan bercakap dengan seorang individu lelaki.
“Indonesia buat KLCC park (taman) macam Monas Jakarta. Abang polis bantuan minta mereka untuk bersurai. Rakyat Malaysia pun perlukan kebenaran untuk berkumpul di taman ini. Mereka bersurai selepas diminta (berbuat demikian),” katanya menerusi kapsyen.
Menerusi ruangan komen, rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan perbuatan berkenaan sekali gus menegaskan, mana-mana rakyat asing juga perlu mematuhi peraturan sekiranya berkunjung di negara ini.
“Maaf orang-orang Indonesia, tapi perbuatan ini agak memalukan,” komen pengguna Thread Ron Aruysa.
“Kalau nak berhimpun kena ada permit polis,” komen Harith Yaccob.
“Serabut dia orang ni nak joget pula depan KLCC. Pergi mana-mana pun bawa juga perangai entah apa-apa. Tinggal kat rumah saja lah perangai memalukan tu,” kata Loccomocca.
Hantaran itu turut mendapat maklum balas seorang rakyat Indonesia dan dia juga tidak bersetuju dengan perbuatan pelancong dari negaranya.
“Sebagai orang Indonesia, saya minta maaf. Pelancong macam ni sesekali memang perlu kena belasah,” kata Wulan Arwina. – KOSMO! ONLINE
Tangkap layar video sekumpulan pelancong dipercayai dari Indonesia berkumpul dan berjoget di taman Suria KLCC.