GUA MUSANG – Seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas motosikal yang dia tunggang bertembung dengan sebuah trak pikap di Jalan Kampung Hanir, Pos Tuel di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, mangsa, Mohamad Nazmin Nazri Yusof, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Pos Tuel menghala ke Pos Hendrop.
Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis SM Sport 110E datang dari arah bertentangan dalam keadaan laju menghala ke arah trak pikap tersebut.
“Keadaan itu menyebabkan pemandu kenderaan berkenaan memberhentikan trak pikap apabila tidak dapat mengelak ke sebelah kiri laluan kerana tiada bahu jalan.
“Motosikal tersebut kemudian terus merempuh bahagian depan trak pikap. Mangsa yang maut di lokasi kejadian dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke di sini,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, mayat mangsa kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE