fbpx
Warga asing ditahan dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO

‘Little Pakistan’ jadi sarang pengemis warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di Jalan Sultan Azlan Shah malam tadi turut mendedahkan beberapa isu lain selain kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kawasan yang dikenali sebagai Little Pakistan kerana dominasi restoran makanan serta kehadiran warga Pakistan didapati menjadi antara lokasi panas yang mencetuskan ketidakselesaan kepada penduduk tempatan.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, terdapat cubaan melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan selain penahanan beberapa individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti mengemis.

“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah wang kertas kecil RM1 ditemui di bilik sewaan mereka dan ini memberi petunjuk wujudnya pengemis warga asing di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di lokasi operasi, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya juga mengenal pasti beberapa premis pernah diperiksa sebelum ini, sekali gus menimbulkan syak wujud kesalahan berulang oleh pemilik perniagaan dan majikan.

“Rata-rata individu yang kita tahan ini merupakan pekerja restoran di sekitar kawasan berkenaan. Ramai antara mereka mempunyai permit sah, namun terdapat juga sebahagian yang disyaki melanggar pelbagai kesalahan imigresen.

“Lebih daripada separuh iaitu kira-kira 150 orang merupakan warga Pakistan. Kehadiran terlalu ramai warga asing yang berkeliaran di sini turut menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya.

Menurutnya, kawasan itu memang dikenali sebagai lokasi utama yang menyajikan pelbagai makanan Pakistan dan JIM tiada masalah berhubung perkara itu asalkan semua peraturan khususnya berkaitan imigresen dipatuhi.

Terdahulu, JIM Kuala Lumpur menggempur sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah menerusi operasi bersepadu yang turut disertai pelbagai agensi penguat kuasa.

Operasi bermula pukul 9.30 malam itu menahan seramai 199 individu, termasuk majikan warga tempatan, yang didapati melanggar pelbagai kesalahan imigresen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI