KUALA LUMPUR – CIMB Artober Art & Soul 2025 (CIMB Artober) kembali untuk tahun kelima di Dewan 1, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) pada 26-28 September ini, dengan matlamat menjadi pemacu ekonomi kreatif Malaysia.
Mempamerkan lebih 30 galeri dan pengusaha, serta lebih 100 karyawan tahun ini, antara tarikan utamanya ialah pameran karya-karya yang julung kali ditayangkan kepada umum daripada koleksi peribadi peninggalan karyawan legenda, Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein.
CIMB juga akan mengadakan pembidaan seni pada Ahad ini, dengan hasil bidaan akan disalurkan kepada Gaza, dikendalikan oleh Mercy Malaysia.
Kemasukan adalah percuma untuk semua, dari pukul 12 tengah hari hingga 8 malam.
Pemilik kad CIMB boleh menikmati 10 peratus diskaun untuk pembelian minimum RM10,000 dan 15 peratus diskaun untuk pembelian lebih RM25,000 dalam satu resit menggunakan mana-mana kad kredit, debit atau prabayar CIMB di galeri yang mengambil bahagian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group, Novan Amirudin berkata, Artober ialah berkenaan seni untuk semua.
“Seni yang memberi inspirasi untuk cara kita berfikir, yang mencabar kita untuk mengambil pendirian, dan yang mendorong kita untuk mengimaginasi semula dunia bukan hanya sekadar mewarisinya.
“Seni yang menguatkan suara yang kurang didengari, memupuk rasa empati dan mengukuhkan komuniti.
“Sama seperti seni, CIMB mengetengahkan diversiti dan memastikan semua meraih kecemerlangan. Matlamat kami ialah memperkasa pelanggan dan masyarakat, memupuk keterangkuman dan membawa lebih makna untuk masyarakat sekitar ASEAN,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2020, CIMB Artober telah meraih lebih RM20 juta yang memanfaatkan komuniti seni dan mengetengahkan kira-kira 1,000 karya seni setiap tahun. – KOSMO! ONLINE