fbpx
Shahlan (dua dari kanan) ketika ditemui media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Jumaat. FOTO IVAN AMIRUL/KOSMO!

Kes Zara: Saksi ke 13 dedah wujud geng ‘Circle 19’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA KINABALU – Saksi kanak-kanak kelima pada prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir hari ini memberitahu Mahkamah Koroner bahawa wujud geng ‘Circle 19’ di Asrama Qurratu ‘Ayun di Sekolah Agama Tun Datu Mustapha, Papar.

Peguam Shahlan Jufri berkata, saksi kanak-kanak itu menceritakan tentang geng Circle 19 yang dipanggil sedemikian kerana mempunyai 19 orang anggota kumpulan.

“Kumpulan 19 pelajar ini semuanya satu tingkatan dan berkawan rapat sejak dari awal. Saksi juga adalah sebahagian dari Circle 19.

“Kami tanya sama ada dia tahu mengenai geng Circle 19 ini. Dia kata, dia tahu. Bila kami tanya siapa anggota dalam geng Circle 19 ini, dia beritahu satu-satu nama dan jumlahnya 19 orang.

“Timbulnya geng Circle 19 ni adalah kawan-kawan rapat. Mereka adalah pelajar tetapi memang kawan-kawan rapat,” katanya di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.

Menurutnya, keterangan saksi tersebut juga menceritakan bagaimana seorang pelajar menyuruh Zara Qairina duduk di lantai sebelum dia ditanya mengenai isu kehilangan dompet.

Katanya bahawa, seorang pelajar menuduh Zara mengambil dompet dia dan Zara berkata bukan dia yang buat.

“Zara disuruh bersumpah dan Zara bersumpah dengan nama Allah dan berkata ‘Wallahi’. Para pelajar meminta Zara balik ke bilik dia tetapi dia masih kekal duduk saja di lantai.

“Seorang pelajar lain lagi datang ke dalam bilik menyoal dengan nada marah tentang barangan peribadi pin bendera yang ditemui di dalam beg Zara sambil menjerit perkataan ‘bodoh, sial’.

“Pelajar tersebut tanya kenapa pin benderanya di dalam beg Zara, tetapi Zara diam. Ada pelajar lain juga tanya mengenai lencana bendera kepada Zara dan Zara berkata ’tidak, bukan dia’. Pelajar yang marah itu keluar memanggil beberapa pelajar lain,” katanya.

Shahlan berkata, dalam kenyataan saksi beberapa pelajar terus menyoal Zara Qairina kenapa pin bendera seorang pelajar ada di dalam begnya dan adakah dia mengambilnya.

“Zara tetap berkata bukan dia yang ambil. Saksi juga berkata, ada pelajar melihat surat berlipat bersama beberapa pelajar semasa berdekatan dengan Zara yang masih duduk atas lantai sambil menundukkan kepalanya. Saksi berkata dia tidak masuk campur,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN