TAMPIN – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencederakan dan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pelajar junior di Rembau, bulan lalu.
Bagaimanapun, remaja tersebut mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja itu telah didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di dalam asrama lelaki kira-kira pukul 7.25 malam pada 13 Ogos lalu. Kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua pula, remaja itu telah melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan ke atas junior yang sama di lokasi sama kira-kira pukul 12.15 tengah malam pada 14 Ogos lalu. Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zainuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Majistret kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dan kes disebut semula pada 28 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE