PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Bella Astillah meluahkan rasa syukur apabila berpeluang membawa anak-anak, ibu bapa serta adik-beradiknya bercuti ke Paris, Perancis pada cuti persekolahan baru-baru ini.
Lebih manis, Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, menanggung sepenuhnya kos tiket penerbangan dan penginapan untuk keluarga tersayang.
“Alhamdulillah, saya berpeluang membawa bukan sahaja mereka berdua, malah ibu bapa saya juga.
“Tiket penerbangan dan hotel semuanya saya uruskan hanya sehari sebelum berlepas, termasuk untuk adik dan along semuanya dengan perbelanjaan sendiri.
“Syukur alhamdulillah atas rezeki yang Allah berikan,” katanya dalam hantaran Instagram.
Pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu pada awalnya hanya ke Perancis atas urusan kerja bersama sebuah jenama tempatan.
Namun, selepas menyedari bertepatan dengan cuti sekolah, dia nekad membawa anak-anak serta keluarga menikmati pengalaman tersebut bersama.
“Akhirnya dapat juga berkongsi tentang perjalanan kami ke Perancis. Pada mulanya, hanya saya seorang yang pergi atas urusan kerja.
“Namun, bila menyedari jatuh pada waktu cuti sekolah, saya rasa tak sanggup untuk menikmatinya seorang diri, apatah lagi Ayden dan Ara sudah lama mengimpikan untuk ke Paris.
“Saya sangat gembira dapat bahagiakan keluarga, terutama anak-anak. Benar-benar satu kenangan yang tidak ternilai untuk disimpan selama-lamanya,” ujarnya.
Sebelum ini, Bella membuat kejutan kepada anak-anaknya iaitu Ayden dan Ara dengan membawa mereka ke kota romantis tersebut yang menjadi impian sejak sekian lama.
Ketika di Perancis juga, Bella sempat menemani dan memberi sokongan kepada teman sekerjanya, Syed Saddiq yang menyertai Kejuaraan Ironman Dunia 2025 yang berlangsung di Nice.
Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016 namun bercerai pada 16 Jun tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5. – KOSMO! ONLINE