fbpx
AFIFAH DAYANA yang dinobatkan Miss Malaysia Kebaya (MMK) 2025 bagi kategori dewasa mula jatuh cinta pada busana kebaya sejak sekolah rendah. – Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI

Azam Ratu Kebaya promosi busana tradisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGENAKAN kebaya songket, Afifah Dayana Mohd. Haizal, 24, tampil dengan penuh keyakinan di atas pentas untuk memperagakan pakaian tradisional tersebut.

Malah, dia menerangkan secara terperinci kepada juri di Grand Final Miss Malaysia Kebaya (MMK) 2025 mengenai pemilihannya menggayakan kebaya songket.

Ternyata kebaya songket membawa tuah kepada Afifah Dayana apabila gadis berasal dari Kelana Jaya, Selangor itu dinobatkan sebagai pemenang kategori dewasa pada pertandingan MMK 2025 baru-baru ini.

Mula diwujudkan pada tahun 2010, MMK merupakan perintis pertandingan ratu kebaya di Malaysia yang menjadikan kebaya sebagai medium meraikan identiti nasional, fesyen dan pemerkasaan wanita.

Selain itu, MMK membuka ruang kepada wanita muda untuk menyerlah sambil mempromosikan keunikan warisan budaya Malaysia di pentas antarabangsa.

Mengulas mengenai kemenangannya, model sambilan itu menzahirkan rasa syukur kerana dipilih menjadi pemenang dalam pertandingan tersebut.

“MMK ini merupakan satu pertandingan yang besar, dan saya gembira apabila terpilih untuk menyertainya.

“Sejujurnya, saya langsung tidak menyangka akan menang kerana peserta lain juga hebat-hebat belaka.

“Alhamdulillah, rezeki telah tertulis untuk saya di pertandingan ini, dan saya amat berbesar hati kerana diberi gelaran Miss Malaysia Kebaya 2025,” katanya.

Tambahnya, kemenangan itu memberikan semangat kepadanya untuk terus melestarikan kebaya yang menjadi warisan negara yang patut dibanggakan.

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis kebaya yang sering digayakan oleh kaum wanita. Kebaya songket merupakan salah satunya, di mana Afifah Dayana memilih untuk mengayakan busana itu kerana melambangkan keunikan warisan Malaysia.

Kebaya songket yang digayakannya menampilkan kehalusan tenunan songket dengan sentuhan moden.

“Saya memilih kebaya songket sebab pada suatu ketika dahulu, ia merupakan pakaian yang paling mahal di Malaysia, hanya dipakai oleh kerabat diraja.

“Namun kini, busana itu sudah dinormalisasikan dan ramai yang memakainya pada majlis perkahwinan atau acara istimewa,” ujarnya.

BAGI kebanyakan orang, kebaya hanya busana tradisi yang cantik dipandang.

AFIFAH DAYANA selesa mengenakan kebaya ke majlis-majlis rasmi.

Namun bagi Afifah Dayana, kebaya bukan sekadar pakaian tradisional, malah ia membawa nilai sejarah, budaya dan identiti bangsa.

“Kebaya juga diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan budaya tidak ketara.

“Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan-pertandingan berkaitan kebaya,” ujarnya.

Sebelum ini, dia juga telah dinobatkan sebagai Ratu Lenggang Kebaya 2024.

Menceritakan tentang penyertaannya dalam pertandingan ratu kebaya, Afifah Dayana menjelaskan, dia masih baru dalam pertandingan sedemikian.

“Ratu Lenggang Kebaya 2024 adalah pertandingan pertama yang saya sertai.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa, dan hanya suka-suka menyertainya.

“Saya tidak menjangkakan rezeki menyebelahi saya apabila diumumkan sebagai pemenang untuk pertandingan tersebut,” ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

Dalam pada itu, penyertaan Afifah Dayana pada pertandingan MMK 2025 pula boleh dikatakan berlaku secara tidak sengaja.

Pada mulanya, dia hanya menjadi model untuk pertunjukkan fesyen MMK 2025.

Kemudian, wakil penganjur memintanya untuk menyertai pertandingan tersebut untuk peringkat negeri Selangor.

“Saya kemudian cuba menyertai pertandingan ini memandangkan saya juga berminat dengan kebaya.

“Rezeki menyebelahi saya dalam pertandingan itu apabila dinobatkan sebagai Miss Selangor Kebaya 2025,” jelasnya.

AFIFAH DAYANA (tengah) sewaktu dinobatkan sebagai MMK 2025 di ibu negara baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkannya mewakili Selangor dan bersaing dalam MMK 2025.

Pada MMK 2025, dia perlu bersaing dengan peserta-peserta lain termasuk dari Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sebagai persediaan untuk pertandingan tersebut, dia tidak kekok untuk meminta nasihat daripada model-model yang pernah menyertai MMK sebelum ini.

Rezeki telah tertulis apabila Afifah Dayana dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori dewasa pada MMK 2025 yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Mengulas tentang kecintaannya terhadap kebaya, Afifah Dayana yang merupakan graduan Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Periklanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan, sejak kecil dia amat meminati pakaian tradisional tersebut.

“Ketika sekolah rendah, saya melihat kawan-kawan memperagakan baju kebaya ketika jamuan raya.

“Bermula dari situlah, saya mula minat dengan kebaya, dan meminta ibu bapa saya membelikan baju ini,” jelasnya.

Selepas kemenangannya itu, Afifah Dayana melihat kebaya bukan hanya pakaian tradisi yang perlu dipelihara, sebaliknya ia menjadi jambatan yang menghubungkan masa lalu dengan masa depan.

Baginya, generasi muda perlu berani menggayakan kebaya dalam kehidupan moden, bukan sekadar di pentas pertandingan, bahkan di majlis-majlis rasmi dan acara harian.

“Saya sendiri sering menggayakan baju kebaya untuk majlis-majlis rasmi.

“Pada setiap tahun, saya akan menggayakan baju kebaya pada pagi 1 Syawal,” terangnya yang mempunyai koleksi tujuh helai kebaya yang masih muat dipakai.

Selain itu, Afifah Dayana menggunakan medium media sosial untuk menunjukkan keindahan baju kebaya.

Dia sering memuat naik gambarnya menggayakan busana tradisional tersebut di media sosial terutamanya dalam Instagram.

Katanya, dia percaya bahawa fesyen tradisi seperti kebaya mempunyai ruang yang besar untuk terus berkembang dalam masyarakat di negara ini.

Dia menambah, dengan gabungan kreativiti pereka muda dan kesedaran masyarakat, kebaya mampu berdiri sama tinggi dengan busana antarabangsa.

Sebagai salah seorang pemenang MMK, Afifah Dayana berazam untuk terus mempromosikan kebaya bukan sahaja di dalam negara, malah di seberang laut agar dunia mengenali Malaysia melalui keindahan busana itu.

Di samping itu, dia melihat wanita moden masa kini memainkan peranan penting dalam mengekalkan tradisi baju kebaya.

“Jika bukan kita siapa lagi, kita bertanggungjawab untuk terus memastikan busana tradisi ini dapat diwarisi untuk generasi masa hadapan.

“Malah ketika ini, pelbagai jenis kebaya moden dihasilkan, dan ia sesuai untuk digayakan pada bila-bila masa,” jelasnya.

Sebagai seorang yang minat dengan busana tradisi, Afifah Dayana memaklumkan, dia sangat meminati kebaya kutu baru dan kebaya nyonya.

Kebaya kutu baru adalah busana dari Kelantan yang merujuk kepada kebaya Kota Bharu. Manakala, kebaya nyonya merupakan salah satu warisan budaya yang unik kerana ia lahir daripada pertembungan tradisi Melayu dan Cina Peranakan atau Baba Nyonya.

“Saya meminati kebaya kutu baru dan kebaya nyonya kerana kedua-duanya melambangkan keindahan budaya Malaysia.

“Kebaya kutu baru menyerlahkan kesederhanaan, manakala kebaya nyonya menonjolkan warna-warni warisan peranakan yang unik.

“Apabila memakainya, saya berasa bangga membawa identiti Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN