KLANG – Cubaan seorang lelaki Bangladesh menyogok anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sebanyak dua kali dengan jumlah mencecah RM7,000 gagal apabila ditahan di Taman Perindustrian Pulau Indah, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu turut menahan empat penumpangnya termasuk dua beranak yang juga warga Bangladesh berusia setahun hingga 30-an ketika operasi bersepadu Jabatan Imigresen Selangor.
Anggota PGA Batalion 19 berpangkat Lans Koperal yang melakukan pemeriksaan berkata, semasa kejadian kesemua mereka menaiki kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Toyota Avanza dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan mendapati dua penumpang lelaki didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemandu MPV itu kemudiannya didapati cuba menyogok sebanyak RM5,000 kepada saya dan dua rakan setugas di lokasi tersebut.
“Apabila saya mencari pegawai Imigresen, didapati lelaki itu cuba melakukan sogokan sekali lagi sebanyak RM7,000 kepada dua rakan saya,” katanya.
Kelima-lima warga Bangladesh itu kemudian ditahan pegawai Imigresen untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, lelaki terbabit mendakwa hanya bekerja di sebuah kedai runcit dan diminta menghantar rakan-rakannya ke rumah kedai sekitar kawasan berkenaan.
“Ini kereta bos, saya cuma pandu. Saya sudah 10 tahun berada di negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE