JAKARTA – Penduduk di Blitar, wilayah Jawa Timur terkejut apabila seorang warga emas menggunakan pembesar suara masjid untuk mengajak orang ramai menjadi pengikutnya di platform TikTok, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian itu dirakam dan dimuat naik di platform sama oleh akaun @timunarab3 semalam.
Berdasarkan video itu, warga emas terbabit membuat pengumuman melalui mikrofon dan pembesar suara masjid pada waktu pagi.
“Assalamualaikum. Saya ingin memberitahu kepada anda, kawan-kawan bahawa saya bermain TikTok. Jangan lupa, nama saya Samuri dari Sidodadi. Jangan lupa ‘follow’ saya di TikTok beramai-ramai,” kata warga emas itu.
Orang ramai pada mulanya menyangka dia ingin membuat pengumuman tentang kematian, sebaliknya mempromosikan akaun TikTok.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1.5 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Mari kita ikut ‘pak Samuri’,” kata seorang netizen.
“Video itu sudah sampai di Malaysia,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI