INSPIRASI nama Rentaka bukan calang-calang. Ia diambil daripada meriam tradisional Melayu, lambang keberanian, kekuatan dan pertahanan bangsa.
“Bagi kami, joran adalah senjata utama pemancing. Sama seperti rentaka, satu senjata berbentuk meriam yang digunakan pendekar Melayu dahulu, ia menjadi simbol bahawa pemancing juga berjuang dengan senjata mereka sendiri,” jelas Jimoque.
Titik permulaan, Adikara
Produk pertama yang dilancarkan oleh Rentaka adalah joran Adikara. Model ini menjadi asas kepada pembinaan jenama, memperkenalkan falsafah mereka kepada komuniti pemancing.
Dari situ, lahirlah pula Black Heart, siri joran casting yang berjaya mencuri perhatian dan melonjakkan nama Rentaka dalam kalangan kaki pengilat tanah air.
Hingga kini, ribuan unit joran keluaran mereka sudah berada di tangan pemancing. Pencapaian ini cukup membanggakan untuk sebuah jenama tempatan.
Falsafah 4R
Sejak awal, Rentaka berpegang pada falsafah 4R (Ringkas, Ringan, Responsif dan Robust). Setiap keluaran tidak dibuat secara besar-besaran, sebaliknya dalam kuantiti terhad demi mengekalkan kawalan kualiti.
“Di sini, kami mahu setiap joran yang dikeluarkan mempunyai kualiti, bukan sekadar mengejar angka jualan,” tambah Amzari.

Menariknya, keuntungan yang diperoleh tidak terus dibelanjakan, sebalik nya dilabur semula dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). Hasilnya, mereka kini sedang menguji joran kembara, MOVE dan joran jigging terbaharu, Enigma yang amat dinanti-nantikan oleh ramai pemancing.
Rekod dunia
Rentaka tidak sekadar mendapat tempat di hati pemancing tempatan. Dalam tempoh singkat, jenama ini turut mencatat nama untuk rekod dunia International Game Fish
Association (IGFA) melalui tangkapan pemancing menggunakan joran keluaran mereka.
Dari situ, nama Rentaka mula menyeberang sempadan, bukan sahaja di Malaysia, malah ke Brunei, Indonesia dan kini mula dikenali di Thailand serta China. Terbaharu, jenama Rentaka juga kini dibawa ke Eropah oleh pemancing dari Perancis yang kerap memancing di Malaysia.
Bagi sebuah jenama tempatan, pencapaian ini membuktikan bahawa produk Malaysia juga mampu bersaing di pentas dunia, berdiri sama tinggi bersama jenama-jenama luar negara.
Misi
Namun, bagi Jimoque dan Amzari, kejayaan bukan semata-mata angka jualan atau populariti.
“Matlamat kami adalah memastikan setiap pemancing mampu memiliki joran berkualiti antarabangsa pada harga mampu milik. Kualiti mesti lebih penting daripada kuantiti,” tegas mereka.
Rentaka hadir bukan sekadar membawa produk, tetapi falsafah. Setiap pemancing tempatan berhak menggunakan ‘senjata’ yang dibina mengikut kehendak dan keperluan spesies ikan kita.














