PETALING JAYA – Ayam Brand™️ meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunannya dengan penganjuran kempen #AyamBersamaMu bersama Sunway XFarms, yang menumpukan kepada pemakanan sihat serta pendidikan mengenai kelestarian makanan.
Ketua Pemasarannya, Teoh Wei Ling berkata, sejak lebih 18 tahun lalu, Ayam Brand™️ telah menyalurkan lebih 2.2 juta hidangan makanan berkhasiat kepada ribuan kanak-kanak, warga emas, ibu tunggal dan komuniti yang memerlukan di seluruh negara.
“Tahun ini kami bukan sahaja memberi sumbangan produk, tetapi juga memperkenalkan pertanian bandar moden kepada kanak-kanak rumah kebajikan.
“Mereka akan belajar cara menanam sayur sendiri serta memahami kepentingan diet seimbang,” katanya.
Antara rumah kebajikan terlibat ialah Rumah Pengasih Warga Prihatin dan Rumah Kebajikan & Anak Yatim Darul Najjah, yang menerima bantuan makanan sihat selain modul pendidikan interaktif daripada Ayam Brand™️.
Wei Ling berkata, pendekatan itu mampu membentuk tabiat sihat sejak kecil, malah mengajar generasi muda supaya lebih peka terhadap alam sekitar dan masa depan mereka. – KOSMO! ONLINE