PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang telah tamat Lesen Memandu Kompeten (CDL) atau lesen memandu selama lebih tiga tahun tidak layak menikmati subsidi bahan api menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kumpulan berkenaan tidak layak menerima subsidi RON95 secara automatik sebab lesen mereka tidak sah selain turut disekat menerusi sistem Kementerian Kewangan (MoF).
Beliau berkata, ketika ini, penebusan Budi95 telah pun diintegrasikan dengan sistem MoF dan orang ramai tidak perlu mengemukakan lesen memandu ketika ingin mengisi minyak.
“Saya ingin ingatkan kepada orang ramai supaya tidak membiarkan lesen memandu mereka tamat lebih tiga tahun bagi menikmati subsidi bahan api itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sejumlah 2.4 juta pemegang lesen memandu berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Anthony berkata, pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun juga perlu wajib menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) bagi mengaktifkan lesen memandu mereka.
Dalam perkembangan sama, beiau berkata, individu yang tidak memperbaharui lesen memandu di bawah tempoh tiga tahun pula masih layak menerima subsidi bahan api berkenaan.
“Setakat ini, sejumlah 925,421 individu tidak memperbaharui lesen memandu masing-masing yang tamat antara setahun hingga tiga tahun,” katanya.
Katanya, sejak pengumuman berkaitan BUDI95, JPJ telah merekodkan sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan lesen memandu menerusi pelbagai saluran urus niaga seperti aplikasi MyJPJ, mySikap, kiosk atau mana-mana kaunter JPJ seluruh negara. – KOSMO! ONLINE