PETALING JAYA – Lebih 50,000 pengunjung hadir memeriahkan Kelate Charity Festival (KCF) 2025 anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.
Penganjuran KCF 2025 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 17 hingga 20 September lalu, membuktikan bahawa peranan festival ini amat penting dalam meringankan beban golongan asnaf, membuka peluang jana pendapatan dan mengangkat seni budaya.
Menggunakan slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’, Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd Rasdin meluahkan rasa syukurnya atas kejayaan festival ini.
“Sambutan yang amat hebat sepanjang festival berlangsung. Alhamdulillah, walaupun ini KCF ini kali pertama dianjurkan, sasaran 50,000 ribu malah lebih pengunjung berjaya dicapai.
“Selain itu, para peniaga yang menyertai KCF ini semuanya berpuas hati dan mahu menyertai kami lagi pada tahun depan. Alhamdulillah, mereka nampak impak KCF ini yang boleh membantu mereka menjana pendapatan dan memperkenalkan lagi produk yang dibawa,” katanya.
Sambutan, penaja
Menurut Kamal Azmi lagi, apa yang membuatkan dirinya teruja apabila sambutan hebat juga datang daripada pihak penaja.
“Sebenarnya, semasa acara berlangsung, masih ada empat penaja yang mahu menyertai KCF, tapi keadaan tidak mengizinkan kerana tawaran penajaan sudah penuh.
“Terima kasih dari lubuk hati kami dan sangat menghargai pihak yang menyatakan minat mereka. Kalau ada rezeki, kami berharap mereka sudi bekerjasama dengan menaja KCF pada tahun depan,” katanya.
Kamal Azmi yang juga pengasas Madoo Bee turut menzahirkan rasa syukur apabila hasrat untuk membantu golongan asnaf tercapai.

KCF 2025 turut meraikan 500 orang asnaf dengan sumbangan wang tunai daripada pihak penaja iaitu Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.
“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila KCF berjaya mencapai matlamatnya untuk meringankan golongan asnaf.
“Saya harap tahun depan lebih banyak bank atau mana-mana agensi tampil untuk membantu golongan asnaf. Untuk tahun depan, kami bercadang mahu membantu lebih ramai, mungkin dalam 1500 orang.
“Dana festival ini yang diperoleh daripada sewaan gerai jualan dan penjualan pakaian akan disumbangkan ke tabung KC Fest 2026,” katanya.
Dahsyat – Ameng Spring
Sementara itu, penyanyi popular Ameng Spring pula menyifatkan penganjuran KCF 2025 adalah festival yang terbaik.
“Bagi saya KCF ini adalah satu festival yang sangat besar dan mempunyai banyak elemen.
“Bagi saya, mana-mana acara atau festival perlu ada artis. Kalau tak ada artis, acara jadi tak hidup. Jadi penganjur perlu cari artis yang sesuai untuk festival.
“Saya tengok KCF 2025 ini paling ‘dahsyat’ setakat ini di Kelantan. Bukan sahaja dari segi persembahan artis untuk sesi petang dan malam, malah setiap apa yang ditampilkan, semuanya boleh dipuji dan bagi saya sangat berjaya,” katanya yang mempersembahkan lagu Romantis, Bougainvilla, Pesanan Buat Kekasih, Sampai Hati, Sejiwa dan Sejujur Mana Kata-Kata.
Selain Ameng, antara selebriti lain yang menjayakan KC Fest ini ialah Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid dan Bob Sentuhan
Bukan itu sahaja, Seramai 1,111 pendikir barat bersama 20 penyanyi dan tukang karut menghiburkan pengunjung.
Turut terlibat 1,111 peserta selawat yang dihimpunkan dalam program Selawat Perdana menerusi segmen Malam Kerohanian selain diadakan sesi perkongsian ilmu oleh penceramah, Ustazah Asma’ Husin dan artis jemputan, Angeline Tan.