PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), NEW YORK – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto semalam menawarkan untuk menghantar sekurang-kurangnya 20,000 anggota tentera sebagai pasukan pengaman ke Gaza bagi melindungi sebarang perjanjian damai pada masa hadapan.
Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB, Prabowo berkata, negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia itu mahukan keamanan yang menunjukkan bahawa kekuasaan tidak boleh menentukan kebenaran.
“Kami percaya kepada PBB. Kami akan terus berkhidmat di mana keamanan memerlukan pelindung, bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dengan kehadiran di lapangan,” katanya.
“Jika dan apabila Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB yang mulia ini membuat keputusan, Indonesia bersedia menghantar 20,000 atau lebih lagi ‘putera’ dan ‘puteri’ kami untuk membantu memastikan keamanan di Gaza,” tambahnya.
Beliau turut berkata, Indonesia bersedia menghantar pasukan pengaman ke tempat lain termasuk di Ukraine, Sudan atau Libya.
Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Arab telah berbincang selama berbulan-bulan, namun masih gagal mencapai kata sepakat mengenai rancangan pasca-perang di Gaza yang telah musnah akibat dua tahun serangan Israel.
Serangan terbaharunya menyasarkan penguasaan ke atas Bandar Gaza tetapi terdapat cadangan terdahulu agar kuasa asing mengambil alih keselamatan wilayah itu.
Perancis dan Arab Saudi dalam satu resolusi yang diterima pakai oleh majoriti besar Perhimpunan Agung, menyeru misi antarabangsa sementara untuk menstabilkan Gaza sebagai sebahagian daripada gencatan senjata. – AFP