PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya Israel akan melancarkan serangan terhadap pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Menurut beliau, serangan itu malah akan dilakukan di perairan antarabangsa sebelum bot-bot GSF memasuki perairan Gaza.
“Saya berpendapat sebelum ia (GSF) sampai ke perairan Gaza semasa berada di perairan antarabangsa lagi Israel serang.
“Sebenarnya dia (Israel) sudah (pun) hantar dron untuk serang, dia akan serang,” katanya menerusi rakaman video podcast yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Dr. Mahathir berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pihak Israel sanggup membunuh peserta GSF.
Katanya, Israel pernah melakukan perkara sama pada tahun 2010 apabila sembilan aktivis dalam pelayaran ke Gaza maut di perairan antarabangsa.
Sementara itu, beliau menyifatkan dakwaan Israel kononnya Hamas mengatur flotila tersebut demi kepentingan politik sebagai pembohongan.
“Yahudi ini kawal media (antarabangsa) dan apa disebut mereka (satu) pembohongan. Tidak ada Hamas jika tidak ada Israel,” katanya. – KOSMO! ONLINE