SHAH ALAM – Kerajaan memutuskan untuk menggunakan MyKad sebagai mekanisme utama pelaksanaan program Budi Madani RON95 (Budi95) kerana ia lebih ringkas dan telah terbukti berkesan, berbanding penggunaan data Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan itu turut disokong mekanisme kawalan sedia ada melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang sebelum ini berkesan menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran.
“Alhamdulillah, mekanisme ini sudah terbukti berkesan melalui STR. Terima kasih juga kepada rakan-rakan di sektor swasta yang bekerjasama dengan kerajaan membangunkan sistem kawalan ini supaya ia benar-benar efektif.
“Dengan cara ini, kita dapat memastikan subsidi disalurkan kepada mereka yang berhak,” katanya ketika sesi taklimat media penyasaran subsidi RON95 di sini, hari ini.
Beliau menambah, walaupun Padu digunakan kerajaan untuk pelbagai analisis dan keperluan kementerian, namun Budi95 hanya memerlukan kriteria asas.
“Untuk Budi95, kita tidak perlu menggunakan sepenuhnya data Padu kerana syaratnya mudah. Sama ada seseorang itu warganegara dan mempunyai lesen memandu sah.
“Maka, kita tidak memerlukan mekanisme yang kompleks,” jelasnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga RON95 diturunkan pada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini.
Langkah penurunan itu dibuat menerusi penyasaran subsidi RON95 yang dijangka memanfaatkan lebih 16 juta rakyat. – KOSMO! ONLINE