PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang ekonomi menerusi pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP).
Wang pendahuluan berjumlah RM1,500 untuk setiap pelajar baharu yang layak diberikan sebagai persiapan awal sebelum memasuki Universiti Awam (UA) dan Politeknik, sekali gus meringankan beban kewangan dan menjaga kebajikan pelajar.
WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan untuk menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui UPUOnline, atau melalui portal kemasukan UA.
Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2025, seramai 990,646 orang pelajar telah menerima manfaat daripada inisiatif ini, melibatkan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar, khususnya ketika mereka memulakan pengajian ke menara gading.
Jelasnya, kemudahan WPP adalah bukti keprihatinan kerajaan melalui PTPTN dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar di peringkat awal pengajian.
“Kami mahu setiap pelajar dapat memulakan sesi pengajian mereka dengan lebih yakin dan selesa, tanpa perlu bimbang terhadap kos pengajian,” katanya sempena sesi ziarah ke rumah pelajar yang menerima WPP di Bukit Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
Tambah Norliza, di Pulau Pinang, seramai 1,380 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.07 juta, manakala bagi kawasan Bukit Gelugor, seramai 88 orang pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM132,000.

“Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Anda adalah harapan masa depan negara.
“Semoga bantuan ini meringankan langkah anda untuk menimba ilmu dan melahirkan graduan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
“PTPTN akan terus bersama anda dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada pendidikan tinggi kerana kekangan kewangan,” ujarnya lagi.
Bagi kemasukan pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda ke UA dan Politeknik sesi Oktober 2025, seramai 27,674 orang pelajar akan ditawarkan WPP yang melibatkan peruntukan berjumlah RM41.5 juta.

Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara bermula hari ini, 24 September 2025.
Penerima hanya perlu membawa bersama surat tawaran WPP yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan). Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan iaitu dari 24 September 2025 hingga 23 November 2025.
WPP merupakan sebahagian daripada pinjaman PTPTN dan para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan Politeknik.
Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN.
Info WPP PTPTN
- Untuk pelajar baharu yang ditawarkan ke UA dan Politeknik
- WPP bernilai RM1,500 bertujuan untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar
- Ibu bapa/pelajar penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
- Boleh ditunaikan di mana-mana kaunter BIMB
- Semakan tawaran WPP boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN