fbpx
Sze Yee (tengah) bersama wakil UPEN Bahagian Kerajaan Tempatan dan Tourism Perak mengadakan perbincangan dalaman dengan pengurusan tertinggi Batik Air pada April lalu.

Batik Air tawar laluan Ipoh-Singapura bermula 1 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Batik Air Malaysia (Batik Air) hari ini mengumumkan bakal membuka laluan penerbangan baharu Ipoh–Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) bermula 1 Disember depan menggunakan pesawat Boeing 737 MAX.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, pengumuman itu adalah pencapaian penting hasil usaha berterusan kerajaan negeri dan menandakan rangkaian penerbangan Ipoh memasuki era baharu.

“Dengan penyertaan Batik Air, laluan Ipoh kini lebih pelbagai. Ia memudahkan pelancong domestik dan antarabangsa serta memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Perak yang berulang-alik ke Singapura untuk perniagaan, pendidikan dan kekeluargaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri pada April lalu melalui Unit Strategi Ekonomi Negeri (SEU) Bahagian Kerajaan Tempatan, Tourism Perak telah mengadakan rundingan bersama pengurusan tertinggi Batik Air sebelum mencapai persetujuan itu.

Menurut Sze Yee, Singapura merupakan pasaran pelancongan antarabangsa utama bagi Perak serta pintu transit rakyat negeri ini ke luar negara.

“Laluan baharu ini dijangka memperkukuh keterhubungan Ipoh–Singapura, sekali gus memberi rangsangan kepada pelancongan dan pelaburan negeri. LTSAS mencatat 540,000 penumpang pada 2024, meningkat 4.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Sehingga Mei 2025, jumlah penumpang sudah hampir kepada 220,000 orang. Dengan penaiktarafan LTSAS bernilai RM8 juta yang siap April lalu, kapasiti lapangan terbang meningkat daripada 240 kepada 510 penumpang sejam dan setahun daripada 500,000 kepada 700,000 orang.

“Kerajaan Negeri Perak akan terus memperjuangkan lebih banyak penerbangan antarabangsa ke Ipoh serta mengalu-alukan kerjasama syarikat penerbangan dan industri pelancongan bagi menjadikan Perak pintu masuk antarabangsa yang lebih berdaya saing,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI