MIRI – Polis mengesahkan video tular yang memaparkan sekumpulan pelajar mengangkat seorang pelajar sehingga terkena tiang di sebuah institusi pengajian di sini bukan kes buli.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian itu hanyalah gurauan dan ia diakui oleh pelajar yang didakwa sebagai mangsa, yang hadir membuat laporan polis bersama-sama ibu bapanya hari ini.
“Pelajar tersebut menafikan bahawa dirinya dibuli, sebaliknya menjelaskan kejadian itu hanyalah gurauan bersama rakan-rakan pelajar yang mengambil jurusan automotif sempena sambutan hari lahirnya pada 19 September lalu, tanpa sebarang unsur paksaan atau penderaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, timbalan pengarah hal ehwal pelajar institusi pengajian itu juga telah membuat siasatan awal di peringkat institut dan mengesahkan bahawa kejadian tersebut merupakan gurauan yang keterlaluan dan bukan insiden buli, serta mengesahkan ia berlaku di dalam kawasan institusi berkenaan.
“Pihak institut akan mengambil tindakan tegas terhadap kesemua pelajar lelaki yang terlibat dan kini masih dalam siasatan kementerian yang terlibat,” katanya.
Katanya, polis juga telah memanggil pegawai institut berkenaan, ibu bapa dan kesemua pelajar yang terlibat berumur dalam lingkungan 18 tahun sehingga 24 tahun untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan dan mengklafikasikan kes tersebut sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).-KOSMO! ONLINE