MELAKA – Seorang wanita warga emas yang berjalan menggunakan tongkat maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Taman Sutera, Batu Berendam, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, mangsa, Choo Ng Lan, 72, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 45 tahun itu dalam perjalanan dari Batu Berendam menuju ke Durian Tunggal.
“Mangsa yang bertongkat dilaporkan sedang melintas dari kiri ke kanan jalan. Pemandu pikap sempat mengelak ke kanan namun tetap melanggar mangsa di bahagian hadapan kiri kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Christopher berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.