AUCKLAND – Seorang ibu di New Zealand didapati bersalah kerana membunuh dua anaknya dan menyembunyikan mayat mereka di dalam beg pakaian, selepas perbicaraan yang menarik perhatian antarabangsa.
Hakyung Lee, 45, diekstradisi dari Seoul pada tahun 2022 selepas mayat anak-anaknya ditemui dalam beg pakaian yang ditinggalkan di unit penyimpanan bagasi, selatan Auckland.
Pihak berkuasa percaya mangsa meninggal dunia selama tiga hingga empat tahun sebelum mayat mereka ditemui.
Yuna Jo dan Minu Jo, masing-masing berusia lapan dan enam tahun pada masa kematian mereka.
Peguam Hakyung berhujah bahawa anak guamnya tidak bersalah atas alasan tidak waras, manakala kematian suaminya pada tahun 2017 pula menyebabkan dia mengalami kemurungan teruk.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah bahawa tertuduh sedar apa yang dia lakukan.
Panel juri Mahkamah Tinggi Auckland mendapati tertuduh bersalah selepas bersidang hanya dua jam.
Hakyung berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup dengan tempoh tanpa parol sekurang-kurangnya 10 tahun di bawah undang-undang New Zealand.
Sepanjang perbicaraan selama tiga minggu, Hakyung duduk di antara penterjemah dan pengawal keselamatan dengan kepala tertunduk dan rambutnya menutupi wajahnya.
Walaupun secara teknikal dia mewakili diri sendiri di mahkamah, Hakyung tidak pernah bertanya soalan atau bercakap sepanjang perbicaraan berlangsung.
Semasa prosiding, peguamnya berkata, wanita itu mengaku memberi anak-anaknya ubat antidepresan yang menyebabkan kematian mereka.
Hakyung berpendapat adalah lebih baik jika seluruh keluarga itu meninggal dunia dan mereka semua mengambil ubat antidepresan, kata peguam bela Lorraine Smith.
Tetapi dia tersilap dos dan apabila dia tersedar, anak-anaknya telah meninggal dunia.
Mayat mereka ditemui dalam beg pakaian berwarna pic yang berasingan, dibungkus dalam plastik, kata pegawai polis yang mula-mula menyiasat kes itu kepada mahkamah. – AFP