KOTA KINABALU – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes pendedahan dan kebocoran maklumat berkaitan saksi kanak-kanak melalui media sosial yang dilaporkan pada 19 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata laporan diterima kira-kira pukul 4.15 petang Jumaat sebelum siasatan segera dijalankan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, polis sudah merakam percakapan pengadu dan membuat permohonan analisis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Dalam masa sama, polis sedang berusaha mendapatkan rakaman percakapan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) serta peguam yang terlibat.
“Usaha turut dijalankan bagi mengesan suspek dan melengkapkan keseluruhan siasatan sebelum dirujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kasim menegaskan, sebarang pendedahan atau penyebaran maklumat berkaitan kanak-kanak khususnya melalui platform media sosial adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat sedemikian demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.
Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada Jumaat lalu membuat laporan polis berhubung kebocoran maklumat anak guamnya.
Dalam laporannya yang dibuat di Balai Polis Luyang, beliau berkata maklumat itu terdedah selepas kenyataan saksi yang sepatutnya diberikan di Mahkamah Koroner dibocorkan di media sosial serta disebarkan secara meluas melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, pendedahan itu mengandungi butiran peribadi saksi termasuk nama penuh, alamat rumah dan nombor pengenalan diri (IC). – KOSMO! ONLINE