fbpx
JANGAN buat penilaian berlebihan sekiranya pasangan baru bercerai mahu menikah lagi. -GAMBAR HIASAN

Tak salah kahwin cepat selepas bercerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENDIRIKAN rumah tangga dalam tempoh singkat selepas melalui fasa perceraian sering mencetuskan pelbagai reaksi.

Kebanyakan masyarakat mempersoalkan sejauh mana individu itu benar-benar sudah move on daripada kegagalan rumah tangga lalu, malah tidak kurang juga yang menganggap tindakan sebegitu sebagai terburu-buru.

Sebahagian pula berpendapat ia adalah keperluan serta fitrah seseorang demi kestabilan hidup dan emosi.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, syariat Islam sudah menetapkan panduan jelas melalui tempoh idah dan ihdad.

Menurutnya, tempoh minimum idah bagi wanita yang diceraikan ialah tiga bulan, manakala bagi isteri yang kematian suami pula ialah empat bulan 10 hari.

Jelasnya, tempoh paling panjang bagi kedua-dua keadaan adalah sembilan bulan, iaitu jika si wanita hamil.

“Mengambil ibrah daripada tempoh idah dan ihdad ini, boleh difahami tempoh paling pendek untuk melayan sedih adalah minimum tiga bulan bagi perceraian dan minimum empat bulan 10 hari bagi kematian.

“Tempoh paling lama pula ialah sembilan bulan bagi dua-dua keadaan perpisahan. Bermaksud, jika seseorang kembali bercinta selepas tempoh tersebut, bukan lah sesuatu yang salah mengikut hukum syariat,” katanya.

Jelas Suzana, jika sebelum tempoh idah atau ihdad berakhir, haram bagi wanita mempunyai cinta baru malah haram juga bagi lelaki melamar atau meminang wanita yang masih dalam
idah.

Katanya, bagi lelaki pula, bercinta sebelum tamat idah isteri bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi jika mahu berkahwin, syarat-syarat tertentu perlu dipenuhi.

“Paling penting, bercinta atau berkahwin semula selepas kekecewaan bukan petanda utama seseorang telah move on.

“Bermaksud mana-mana individu yang kekal sendirian meneruskan hidup bersama anak atau tanpa anak, pun boleh dikategorikan sebagai telah move on dengan syarat anda fokus kepada hidup anda sekarang dan masa depan, bukan terus tenggelam dalam kisah silam,” katanya.

Suzana juga menolak stigma negatif sebahagian masyarakat terhadap status duda atau janda kerana tiada hina menjadi seorang duda atau janda.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar latar belakang bakal pasangan tetap diteliti walaupun mereka duda atau janda.

“Siapa dia pada masa lalu tidak semestinya sama dengan dirinya pada masa kini. Manusia boleh berubah, tetapi pastikan perubahan itu benar-benar wujud, bukan sekadar jangkaan,” katanya.

Suzana turut berkongsi beberapa langkah praktikal untuk membantu individu benar-benar move on.

Antaranya, menerima ketentuan Allah, fokus kepada kehidupan ke depan, merancang hidup baharu serta berusaha dan berdoa.

Beliau juga berharap agar masyarakat tidak terburu-buru menghakimi pasangan yang memilih untuk berkahwin semula dalam tempoh singkat selepas bercerai atau kematian pasangan.

“Yang penting, kebahagiaan mereka direstui keluarga dan diurus mengikut hukum syarak.

“Orang luar tidak perlu membuat penilaian berlebihan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN